“Saya minta maaf kepada keluarga arwah Siti Sarah…” -Aisar Khaled |
PETALING JAYA: Pelakon dan personaliti media sosial, Aisar Khaled, sekali lagi menimbulkan rasa kurang senang warganet gara-gara memuat naik satu hantaran video melawat pusara penyanyi terkenal, Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin.
Dia bagaimanapun telah memadam video berkenaan di platform Youtube dan aplikasi TikToknya selepas menerima kecaman hebat daripada rata-rata warganet.
Menerusi ciapan di Twitter, Aisar mengakui kekhilafannya dengan menyifatkan dirinya tidak berfikiran panjang itu dan tampil memohon maaf secara terbuka.
“Saya telah pun padam video tersebut. Saya minta maaf sangat atas keluarga arwah serta tidak berfikiran jauh sebelum memuat naik video tersebut.
“Oleh hal demikian, saya tidak akan mengulangi kesalahan itu lagi. Minta Maaf lagi sekali, sedar kesilapan saya,” tulisnya di Twitter.
Dalam video itu juga, dia dilihat menuruni kereta yang dinaikinya dan meluru ke arah pagar perkuburan berkenaan, namun berpatah balik berjalan ke kereta semula.
Video tular itu telah menimbulkan rasa berang rata-rata pengguna media sosial apabila dia didakwa hanya melakukan perkara sedemikian hanya sekadar kandungan media sahaja.