Rayuan Pingat Emas Malaysia Ditolak, Ziyad Minta Maaf

Atletik Para Dunia dalam kenyataan memaklumkan rayuan dilakukan Australia, Ecuador dan Malaysia ditolak.

Keputusan batal pingat emas Ziyad kekal


KUALA LUMPUR: Rayuan kontinjen kebangsaan untuk mengesahkan pingat emas dimenangi atlet lontar peluru negara Ziyad Zolkefli telah ditolak pihak penganjur dalam mesyuarat antara chef-de-mission (CDM) pagi tadi.

Menurut laporan Astro Arena, keputusan itu membuatkan Ziyad terlepas pingat emas acara lontar peluru F20 Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dan rayuan seterusnya hanya boleh dilakukan selepas tamat temasya itu nanti.


Terdahulu, Astro Arena melaporkan pembatalan Ziyad itu susulan protes daripada atlet Ukrain selepas acara itu selesai, bahawa beliau antara tiga individu yang lambat memasuki ‘call room’ sebelum acara bermula.

ZIYAD memuat naik status memohon maaf kepada rakyat Malaysia di laman Instagram miliknya. FOTO Instagram
Atlet Ukraine itu, Maksym Koval kemudian diberikan pingat emas.

Sementara itu, menerusi akaun Instagram, Ziyad memohon maaf berikutan kontroversi penarikan pingat emas itu. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan diberikan.

“Saya mintak maaf pada semua rakyat Malaysia. Terima kasih memberi sokongan kepada saya,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berkata pasukan Malaysia masih membincangkan perkara itu dengan delegasi teknikal.


“Masih dalam perbincangan antara Technical Delegate dengan tiga negara yang ‘counter protest’ Ukraine iaitu Malaysia, Australia dan Ecuador,” katanya.

Hasrat Muhammad Ziyad hadiahkan pingat emas kedua kepada kontinjen negara di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila pingat emas dimenangi dibatalkan selepas dibantah oleh kem Ukraine. - Foto Bernama
Dalam pada itu, Atletik Para Dunia dalam kenyataan memaklumkan rayuan dilakukan ketiga-tiga atlet dari Australia, Ecuador dan Malaysia yang bertanding dalam acara akhir lontar peluru F20 ditolak oleh Juri Rayuan Atletik Para Dunia.

“Keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara 5.5 Peraturan Para Atlet Dunia iaitu ‘kegagalan melapor ke bilik panggilan’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik panggilan pada waktu yang sesuai seperti yang disiarkan dalam jadual bilik panggilan, mereka akan dinyatakan dalam keputusan sebagai ‘Did Not Start’ (Tidak Bermula),” menurut kenyataan itu.


Pembatalan ini bermakna Ziyad tidak dapat mempertahankan pingat emas yang dimenanginya di Olimpik Rio 2016.

Ziyad sebelum ini telah mencipta rekod dunia dengan lontaran 16.84m di Rio sekaligus merangkul pingat emas, dan kemudian memecahkan rekodnya sendiri setahun kemudian dengan lontaran 17.29m pada Kejohanan Atletik Para Para Dunia 2017 di London.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.