Dr. Adham yakin keupayaan saintis negara hasilkan vaksin |
KOTA TINGGI: Penetapan kerajaan agar Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberi fokus kepada kajian dan penyelidikan khususnya berkaitan penghasilan vaksin pertama negara disambut baik Datuk Seri Dr. Adham Baba.
Dr. Adham yang akan mengangkat sumpah jawatan menteri di kementerian berkenaan pada Isnin ini berkata, fokus bagi penghasilan vaksin pertama negara pada ketika ini dilihat amat penting.
Jelas Ahli Parlimen Tenggara itu, beliau yakin negara memiliki saintis-saintis yang boleh digembleng tenaga untuk melaksanakan inovasi dalam penghasilan vaksin.
“Teknologi yang perlu dipelopori tentu sekali maju dan ke hadapan untuk menyelamatkan kita daripada wabak-wabak selanjutnya kerana kita tidak tahu apa wabak yang akan datang.
“Jadi fokus kita bangunkan vaksin untuk cegah Covid-19 dalam negara. Itu perkara pertama akan bincangkan kelak, saya bersama pasukan di MOSTI pada Isnin ini juga akan melawat kilang fill and finish (aktiviti perkilangan isi dan selesai) vaksin CanSino.
DR. Adham Baba (depan kanan) menyerahkan pelitup muka kepada penduduk Taman Kota Jaya di Balairaya Taman Kota Jaya di Kota Tinggi, Johor. |
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan MOSTI tidak lagi mengendalikan pemberian vaksin dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bersama Kementerian Kesihatan dan akan fokus kepada penghasilan vaksin.
Sementara itu, Dr. Adham berkata, teknologi yang ada di kilang berkenaan hanya perlu dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara dari segi keberkesanan keselamatan dan kualiti yang perlu dipatuhi dalam usaha menghasilkan vaksin.
“Kita memiliki keupayaan dan kita akan buat kerjasama dua hala dengan negara-negara lain yang telah berjaya menghasilkan vaksin-vaksin sebelum ini.
“Kerjasama tersebut mungkin akan melibatkan banyak negara yang menghasilkan vaksin sendiri seperti China, India atau Thailand yang cuba hasilkan vaksin sendiri.
“Saya telah bercakap dengan pakar-pakar saintis yang minat hasilkan vaksin dan beberapa negara yang saya sebut itu akan dijadikan sebagai rujukan untuk kita mulakan tindakan awal,” katanya.