KULIT ayam digoreng rangup amat digemari kebanyakan orang yang lazim dimakan sebagai snek ringan. – GAMBAR MEDIA SOSIAL |
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengingatkan orang ramai supaya mengelak daripada memakan kulit ayam yang digoreng kerana terdapat banyak risiko bahaya.
Menerusi hantaran berbentuk infografik dalam akaun sosial Facebooknya, kementerian itu memaklumkan, makanan itu juga mempunyai lemak tepu 11.8 gram bagi setiap 100 gram selain tidak sihat kerana ada 435 kilokalori dan tahap kolesterol 180 milligram bagi setiap 100 gram, berisiko berlaku kenaikan berat badan, darah tinggi dan sakit jantung.
“Setiap makanan daripada sumber semula jadi memang sudah mengandungi kandungan nutrien tertentu yang diperlukan tubuh badan termasuklah lemak untuk penghasilan hormon.
“Khasiat ini juga bertindak mengawal atur suhu badan kita, tetapi ia bergantung kepada cara pengambilan harian kerana makanan sedia ada pun mengandungi tinggi lemak,” katanya.
Kenyataan tersebut dipercayai merujuk iklan restoran makanan segera popular Barat yang mempromosikan menu kulit ayam dilancarkan kelmarin sebagai snek jimat kos waktu petang.
Bagaimanapun, ramai pelanggan rangkaian premis itu dilaporkan mengadu mengenai saiz hidangan tersebut tidak seperti digambarkan sehingga tular diperkatakan warganet tempatan.
Mengulas lanjut, Kementerian Kesihatan menambah, makanan berproses pada kelazimannya ada minyak dan santan selain tinggi kolesterol dan kalori yang tidak sihat untuk tubuh badan.
“Apatah lagi budaya kita yang gemar makan dengan banyak dan kerap serta tidak ikut waktu. Justeru, bijaklah dalam buat pilihan kerana badan sendiri, penyakit pun sendiri,” katanya.
Hantaran berkenaan turut menerima reaksi luar biasa pengguna media sosial apabila setakat ini sudah mendapat hampir 7,000 tanda suka selain dikongsi lebih 4,700 kali oleh netizen.