Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar |
PUTRAJAYA – Khairy Jamaluddin Abu Bakar hari ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua rakyat Malaysia sekiranya ada kekurangan sepanjang berkhidmat sejak 10 Mac tahun lalu.
Menerusi dua rakaman video versi bahasa Melayu dan Inggeris masing-masing berdurasi 8 minit 45 saat dan 7 minit 12 saat itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak.
“Saya mengambil peluang di sini untuk memohon maaf kepada sesiapa yang ada pengalaman buruk dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sejak dilancarkan kerajaan.
“Namun saya berjanji akan terus lagi belajar, menambah baik dan berjuang untuk keadaan lebih sempurna selepas ini,” kata Menteri Teknologi, Sains dan Inovasi menerusi hantaran itu.
Nada agak sayu beliau yang juga Menteri Penyelaras PICK ketika berucap itu menimbulkan spekulasi adakah ini adalah hari terakhir Khairy, 45, bertugas secara rasmi sebagai menteri.
Khairy mohon maaf jika ada kekurangan sepanjang berkhidmat |
Tidak pula dipastikan sama ada penampilan beliau itu seperti beri isyarat awal pengunduran dirinya susulan spekulasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan esok.
Berdasarkan peruntukan Perlembagaan, peletakan jawatan ketua kerajaan akan melibatkan kesemua anggota jemaah Kabinet pun kehilangan jawatan masing-masing secara automatik.