Juliari Batubara, Bekas Menteri Hal Ehwal Sosial Indonesia |
JAKARTA – Seorang bekas menteri hal ehwal sosial Indonesia dipenjara 12 tahun hari ini selepas didapati bersalah menerima rasuah AS$1.2 juta (RM5 juta) melibatkan bantuan makanan untuk keluarga miskin yang terjejas akibat pandemik koronavirus.
Sebuah mahkamah Jakarta menjatuhkan hukuman berat terhadap Juliari Batubara susulan penangkapannya pada Disember tahun lalu, manakala operasi khas membawa kepada penemuan beg pakaian, beg galas dan sejumlah sampul berisi wang tunai.
“Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap tertuduh dan memerintahkannya membayar denda AS$35,000(RM147,910). Tertuduh akan menjalani hukuman penjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda,” kata Hakim Muhammad Damis semasa perbicaraan tersebut yang berlangsung secara maya kerana faktor keselamatan semasa pandemik.
Bekas ahli politik itu juga diperintahkan membayar ganti rugi setara berjumlah AS$1 juta (RM4.2 juta) atau menghadapi hukuman dua tahun penjara tambahan, kata mahkamah.
Juliari menerima suapan wang tunai daripada dua kontraktor yang diberi kontrak membekalkan pakej makanan asas untuk rakyat Indonesia yang terjejas semasa pandemik Covid-19, demikian menurut keterangan di mahkamah.
JULIARI dirakam di luar sebuah mahkamah di Jakarta hari ini. - AFP |
Rasuah masih menjadi masalah besar di Indonesia, di mana ahli-ahli politiknya dilihat sebagai antara paling korup.
Juliari Batubara divonis 12 tahun penjara |
Indonesia merupakan antara negara paling teruk dilanda Covid-19 dengan hampir empat juta rakyatnya disahkan positif bersama lebih 126,000 kematian, namun angka jangkitan sebenar dipercayai jauh lebih tinggi. – AFP