Seorang pemimpin PH berkata, pemimpin PKR, DAP dan Amanah hari ini dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong memanggil mereka untuk menghadap. |
KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) diminta bersiap sedia untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyuarakan pandangan mereka berhubung siapa yang patut menerajui kerajaan baharu, susulan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini.
Seorang pemimpin pembangkang yang enggan dinamakan berkata, pemimpin PKR, DAP dan Amanah dimaklumkan mengenai pertemuan itu hari ini.
Tiada butiran mengenai bila mereka akan dipanggil ke Istana Negara. FMT sedang mendapatkan pengesahan pertemuan itu daripada pegawai Istana Negara.
Pada Februari 2020, Yang di-Pertuan Agong mengadakan satu siri rundingan dengan pemimpin parti politik, susulan peletakan jawatan Dr Mahathir Mohamad dan kejatuhan kerajaan PH.
Kerajaan baharu kemudiannya ditubuhkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan sekutunya dalam PN.
Muhyiddin melepaskan jawatan perdana menteri bersama Kabinetnya hari ini, selepas mendapati beliau hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.
Antara individu yang disebut-sebut akan menggantikan Muhyiddin ialah Timbalannya dalam Kabinet yang juga Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dan veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah.