11 termasuk 3 wanita Vietnam ditahan sambut hari jadi

Sebahagian daripada 11 individu yang ditahan menyambut hari jadi di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Seberang Perai semalam.

11 ditahan berpesta hari jadi di kondominium mewah



SEBERANG PERAI: Mungkin terlalu lama tidak bersosial, 11 individu termasuk tiga wanita Vietnam mengadakan parti hari lahir dengan jamuan makan diiringi muzik di sebuah kondominium di Jalan Lestari, Perai di sini semalam.

Bagaimanapun, keseronokan kumpulan tersebut tidak sampai penghujung apabila majlis tersebut diserbu pasukan polis diketuai Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Deputi Superintendan Akmal Yahaya dan Asisten Superintendan Mohd Fairuz Mostafa.

Ketika serbuan di tingkat 19 kondominium pada pukul 11 malam, kumpulan tersebut baru memotong kek hari jadi wanita Vietnam yang berusia 22 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, siasatan mendapati tiga wanita Vietnam itu adalah kekasih kepada tiga lelaki yang turut ditahan dalam parti tersebut.

“Parti berkenaan dianjurkan untuk menyambut hari lahir seorang wanita tersebut oleh kekasihnya,” kata beliau ketika di sini hari ini.


Antara individu yang ditahan di sebuah kondominium mewah di Perai malam tadi.
Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati rumah itu didiami dua lelaki bersama tiga wanita tersebut dengan bayaran sewa RM1,450 sebulan.

“Lapan lelaki itu mengaku menjemput kenalan lain untuk hadir menyambut hari lahir seorang wanita Vietnam itu,” kata beliau

Kata Rahimi, mereka yang ditahan masing-masing bekerja sebagai peniaga haiwan, pekerja kilang serta pekerja kedai barangan sejuk beku.

Jelasnya, polis tidak menemui dadah di rumah tersebut tetapi hasil saringan air kencing mendapati empat lelaki positif dadah jenis methaphetamin manakala seorang wanita positif ketamin.

Kesemua direman mengikut Seksyen 269 Kanaun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.