Warga emas disyaki positif Covid-19 mati di rumah

ANGGOTA polis dan kakitangan KKM mengusung mayat Aminah Ahmad yang meninggal dunia di rumahnya di Bukit Malut, Langkawi, Kedah, hari ini.

Warga emas ditemui mati di PKPD Bukit Malut



LANGKAWI: Seorang warga emas disyaki positif Covid-19 meninggal dunia di runahnya di penempatan haram Bukit Malut di sini, yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hari ini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Aminah Ahmad, 78, meninggal dunia di rumahnya di Jalan Kolam Udang, Bukit Malut, pukul 10.15 pagi.

Menurutnya, maklumat mengenai kematian mangsa disalurkan orang awam ke Ibu pejabat Polis Daerah Langkawi melalui Perkhidmatan Respons Kecemasan Malaysia (MERS).

Katanya, sejurus selepas menerima panggilan tersebut, anggota polis bersama kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan ambulans bergegas ke rumah mangsa.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pasukan petugas telah mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) semasa di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini


Mayat Aminah dari kawasan PKPD Bukit Malut, Langkawi dihantar ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.
Tambahnya, hasil temubual dengan anak wanita itu, mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri pada 9.55 pagi selepas terlantar sakit selama tiga hari, selain bergejala demam.


“Mangsa juga dimaklumkan belum sempat menerima suntikan vaksin Covid-19 kerana faktor usianya dan tidak berupaya untuk bergerak,” katanya.

Menurut Shariman, petugas perubatan mengesahkan kematian mangsa di tempat kejadian.


Katanya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha di sini untuk ujian Covid-19 dan pemeriksaan lanjut.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.