‘Tempahan paling mewah’, Tapau nasi dengan helikopter

Kickbola.netKakitangan kedai menjual nasi kandar terkemuka memuatkan nasi ganja dalam helikopter yang mendarat di Padang Ipoh hari ini.



PETALING JAYA: Seorang pelanggan dari Kuala Lumpur dikatakan menempah 36 bungkus “nasi ganja” dari sebuah restoran nasi kandar terkenal di Ipoh, Perak, dengan menggunakan perkhidmatan helikopter yang mendarat di Padang Ipoh, hari ini.

Pendaratan helikopter yang dimiliki sebuah syarikat swasta di Padang Ipoh turut mengejutkan orang ramai yang berada berhampiran kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, pendaratan helikopter itu di situ tidak mendapat kebenaran sebaliknya ia hanya mendapat kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

Ketua Polis Perak, Mior Faridalatrash Wahid, yang mengulas pendaratan helikopter itu berkata, semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh mendapati helikopter berkenaan hanya mendapat kebenaran untuk mendarat di LTSAS.

“Helikopter tersebut didapati mendarat di Padang Ipoh pada 9.55 hingga 10.15 pagi ini.


Helikopter yang dinaiki dua lelaki itu dikatakan bertujuan mengambil tempahan nasi kandar dari sebuah restoran popular di Ipoh.
“Helikopter tersebut tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh. Kita sudah salurkan info ini kepada pihak CAAM Ipoh,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Beliau berkata, polis Perak akan membuka siasatan berkenaan isu ini berdasarkan kesalahan melanggar SOP larangan merentas daerah/negeri terhadap individu dan syarikat berkenaan.

Katanya , kes disiasat bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Helikopter yang dinaiki dua lelaki itu dikatakan bertujuan mengambil tempahan nasi kandar dari sebuah restoran popular di Ipoh.


Sementara itu, jurucakap restoran “nasi ganja” yang enggan namanya disiarkan mengesahkan menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging dan telur masin daripada pelanggan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan helikopter.

“Saya agak ragu-ragu juga kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.

“Namun, saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan itu memang benar diambil menggunakan helikopter.


“Ini pertama kali tempahan diambil oleh pelanggan menggunakan helikopter. Ia saya sifatkan tempahan yang diambil dengan cara paling mewah yang pernah saya terima tetapi harga jualan tetap sama, iaitu RM10 setiap bungkus,” katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.