Prestasi Semasa Ekonomi Malaysia

Pasaran Malaysia berdaya tahan

SEPANJANG lebih setahun negara berhadapan pandemik Covid-19, pelbagai kesan langsung dan tidak tidak langsung dapat dilihat terhadap prestasi Bursa Malaysia, terutamanya indeks penanda arasnya, FBM KLCI.


Untuk mendalami lebih jelas tentang impak pandemik terhadap pasaran saham negara, ikuti wawancara bersama Bursa Malaysia.

 

Sejauh mana prestasi syarikat-syarikat di Bursa Malaysia sepanjang tempoh pandemik?

 

BURSA MALAYSIA: Walaupun FBMKLCI menguncup sebanyak 5.8% pada separuh pertama 2021, pasaran secara keseluruhannya masih terus berdaya tahan. Beberapa sektor terkemudian pada tahun 2020 mula menampakkan tanda-tanda pemulihan, seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

 

Indeks Sektor Bursa Malaysia Pertumbuhan 2020 (%) Pertumbuhan 2021 Sehingga Jun (%)
Teknologi 83.9 13.0
Pengangkutan dan Logistik 4.7 9.1
Produk dan Perkhidmatan Industri 16.1 4.6
Telekomunikasi dan Media -2.0 4.5
Perkhidmatan Kewangan -1.0 -1.4
Produk dan Perkhidmatan Pengguna -7.6 -2.0
Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) -13.4 -2.5
Harta -11.5 -4.7
Utiliti -1.6 -8.1
Pembinaan -10.8 -10.2
Tenaga -27.8 -11.9
Perladangan -5.6 -12.3
Penjagaan Kesihatan 185.6 -19.2

 

Bagi sektor Penjagaan Kesihatan yang mengalami kenaikan sebanyak 186 peratus, terutamanya syarikat-syarikat sarung tangan/perubatan, pertumbuhan pesat tahun lalu sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh jangkaan keuntungan luar biasa hasil daripada peningkatan permintaan untuk produk yang berkaitan dengan perubatan. Kejayaan pembangunan vaksin yang membawa kepada pemulihan yang semakin beransur daripada pandemik telah mengukuhkan sektor ini, dengan pendapatan syarikat-syarikat pembuat sarung tangan/perubatan dijangka akan kembali pada tahap yang normal.

Kami mula melihat para pelabur beralih ke tema pemulihan ketika ekonomi perlahan-lahan dibuka semula.



Berapa banyak syarikat yang dinyahsenarai dan diturunkan ke PN17 sepanjang tempoh pandemik tercetus? Apa sebab penurunan syarikat ke status PN17 dan berapa banyak daripadanya adalah syarikat bumiputera?


Untuk tempoh antara Mac 2020 hingga 30 Jun 2021, dua penerbit tersenarai telah diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas kerana masing-masing telah mencetuskan satu atau lebih kriteria Nota Amalan 17 (PN17) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama. Dalam tempoh yang sama, sejumlah enam penerbit tersenarai telah dinyahsenarai kerana tidak mematuhi syarat PN17.

Adalah mustahil untuk menentukan pemilikan bumiputera dengan tepat. Pemilikan runcit boleh mengalami perubahan besar dalam tempoh yang agak pendek, sebahagiannya dalam jangka waktu cuma beberapa hari atau minggu. Ini ditambah lagi dengan perlakuan dari akaun penama.


Bagaimana dengan aliran keluar pelabur asing dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 2020?



Aliran keluar asing tahun hingga kini (YTD) 2021 terus menurun walaupun tidak begitu signifikan berbanding tahun fiskal 2020. Pada 2020, aliran bersih institusi asing adalah sebanyak RM24.38 bilion manakala untuk tahun ini sehingga Jun sebanyak RM4.20 bilion.

Walaupun Bursa Malaysia menyaksikan aliran keluar dana asing sebanyak AS$1.03 bilion (RM4.35 bilion) pada separuh pertama 2021, ia konsisten dengan pasaran lain di rantau ini. Walau bagaimanapun, kedudukan Malaysia adalah lebih baik daripada kebanyakan negara ASEAN lain kecuali Indonesia.

Pelabur asing kekal sebagai penjual bersih ekuiti Pasaran Baru Muncul Asia (EM Asia) dengan penjualan bersih sebanyak AS$1.56 bilion (RM6.59 bilion) pada minggu yang berakhir pada Julai 2021. Sebilangan besar pasaran utama di EM Asia merekodkan penjualan bersih seperti di Malaysia kecuali India dan Vietnam yang mencatatkan aliran masuk bersih sederhana yang masing-masing berjumlah AS$119 juta (RM502.95 juta) dan AS$132 juta (RM557.90 juta).

Walaupun terdapat aliran keluar, pegangan saham asing bagi ekuiti Malaysia kekal melebihi 20 peratus daripada nilai permodalan pasaran (akhir Jun 2021: 20.3 peratus). Ini menunjukkan walaupun pelabur atau spekulator jangka pendek telah keluar, pelabur jangka panjang atau strategik masih kekal dalam Pasaran Malaysia.


Prestasi Bursa Malaysia dengan trend kejatuhan yang berterusan – apakah puncanya pada pandangan Bursa Malaysia?



Walaupun sentimen pasaran lemah, pembukaan kembali secara beransur-ansur ekonomi domestik dan global akan menguntungkan pasaran seiring dengan proses vaksinasi yang semakin dipercepat. Pemulihan dijangka akan berlaku apabila perniagaan melonjak semula hasil daripada permintaan terkekang pascapandemik, manakala pembukaan semula sempadan akan mendorong perbelanjaan pengguna.

Selain itu, pasaran kita mempunyai kerencaman yang baik dengan beberapa syarikat berhad yang tidak terlalu terkesan akibat Covid-19. Sebaliknya, syarikat-syarikat ini menunjukkan peningkatan pendapatan yang ketara terutama dalam bidang kesihatan, teknologi, perladangan dan kewangan bukan bank. Kami juga melihat ketahanan dalam prestasi sektor-sektor seperti teknologi (+13 peratus YTD), pengangkutan dan logistik (+9 peratus YTD) serta produk dan perkhidmatan industri (+5 peratus YTD).

Nisbah harga kepada pendapatan (PE) ke hadapan Bursa Malaysia sebanyak 13.3 kali pada masa ini adalah yang terendah di rantau ini, dibandingkan dengan negara yang berjiran yang berkisar antara 14.8 kali hingga 19.2 kali menjadikan pasaran kita lebih menarik terutama apabila ekonomi pulih dan peningkatan menjadi lebih menyeluruh dalam pasaran yang lebih luas.

Usaha berterusan kami untuk mendigitalkan perkhidmatan, meliberalisasikan kerangka kawal selia (yang mana relevan) serta memperluas produk dan perkhidmatan telah membolehkan kami memanfaatkan peluang baharu dan merangsang minat jangka panjang dalam pasaran. Kami juga terus bekerjasama dengan pengawal selia untuk memastikan kecekapan pasaran dan peningkatan kebolehsampaian dan kecairan pasaran untuk menyokong para pelabur dalam tempoh yang mencabar ini.


Berapa banyak syarikat baharu yang mohon hendak disenaraikan?


Walaupun berada dalam suasana yang mencabar sejak 18 bulan yang lalu, minat untuk penyenaraian terus memberangsangkan dengan syarikat-syarikat mengakses pasaran ekuiti untuk pertumbuhan. Lanjutan daripada momentum tahun lalu yang menyaksikan 19 tawaran awam permulaan (IPO), prospek tahun ini kekal sihat bagi ketiga-tiga pasaran.

Walau bagaimanapun, masa yang diperlukan untuk penyenaraian berbeza mengikut syarikat dan boleh mengambil masa antara tujuh bulan hingga setahun untuk menyelesaikan penyenaraian. Walaupun begitu, untuk tahun 2021 Bursa Malaysia telah mendaftarkan 16 IPO, sementara empat syarikat telah melancarkan prospektus untuk disenaraikan tahun ini. 


Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.