Kesan antibodi vaksin COVID-19 berkurangan lepas 6 bulan

Botol vaksin COVID-19 Sinovac. - Foto NSTP



BEIJING: Kesan antibodi dihasilkan vaksin Sinovac berkurangan dalam tempoh enam bulan selepas dos kedua bagi kebanyakan penerima tetapi suntikan ketiga boleh menggalakkan kekuatannya.

Penyelidik di China melaporkan dapatan hasil kajian sampel darah individu dewasa sihat yang sihat berusia antara 18 dan 59 tahun itu dalam sebuah majalah Ahad lalu tetapi belum disahkan lagi oleh penyelidik lain.

Bagi individu yang menerima dua dos, dalam sela dua atau empat minggu, masing-masing hanya 16.9 peratus dan 35.2 peratus masih mempunyai tahap antibodi peneutralan melebihi tempoh enam bulan selepas dos kedua.

Bacaan itu berdasarkan data daripada dua kohort, masing-masing membabitkan lebih 50 peserta, sementara kajian bagi pemberian dos ketiga merangkumi 540 peserta.


Apabila peserta dalam beberapa kohort diberi dos ketiga, kira-kira enam bulan selepas itu, tahap antibodi neutral dalam 28 hari selanjutnya meningkat sekitar tiga hingga lima kali ganda berbanding tahap direkodkan dalam tempoh empat minggu selepas dos kedua.

Kajian ini dilakukan oleh penyelidik di bawah naungan pihak berkuasa badan kawalan penyakit wilayah Jiangsu, Sinovac dan institusi lain di China.


Penyelidik mengingatkan bahawa kajian itu tidak menguji kesan antibodi terhadap varian yang lebih mudah berjangkit dan kajian lebih lanjut diperlukan untuk menilai tempoh kesan antibodi selepas suntikan ketiga. - AGENSI

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.