Berkaki ayam waktu memandu? Ini komen JPJ

Kickbola.net Walaupun memandu tanpa memakai kasut atau memakai selipar dibenarkan, ia mungkin tidak selamat kepada pemandu.



GEORGE TOWN:Persoalan berhubung undang-undang memakai kasut atau selipar semasa memandu kenderaan peribadi akhirnya terjawab apabila tiada undang-undang yang mewajibkan berbuat demikian.

Penguat kuasa pengangkutan menjelaskan, mengikut undang-undang kasut hanya wajib bagi pemandu kenderaan komersial.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkata, menjadi kesalahan bagi pemandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV) seperti teksi, bas, lori dan kenderaan e-hailing, sekiranya memandu berkaki ayam.

Seorang jurucakap JPJ berkata, mengikut peraturan, pemandu PSV boleh didenda RM150 kerana tidak berpakaian kemas dan/atau tidak memakai kasut semasa memandu.

Mereka yang membawa PSV boleh diperiksa dari semasa ke semasa di bawah peruntukan Kaedah-kaedah Kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan Kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang) 1959.


“Walau bagaimanapun, bagi kesalahan tidak memakai kasut semasa memandu Kenderaan Perkhidmatan Awam, tiada peruntukan yang spesifik yang menyatakan berhubung larangan pemakaian selipar termasuk di dalam Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1957,” kata jurucakap itu dalam jawapan tertulis kepada FMT.

Persoalan itu timbul selepas satu video tular menunjukkan seorang polis trafik memeriksa pemandu kereta di Pulau Pinang, yang didapati tidak memakai kasut.

Seorang pakar berkata, meskipun undang-undang tidak mewajibkan pemakaian kasut ketika memandu kereta peribadi, perbuatan itu tidak betul dan boleh mendatangkan masalah.

Ahli akademik automotif Chew Kim Loong berkata, saranan agar memakai kasut ketika memandu bertujuan mengelak kesilapan penggunaan pedal dan kerap kemalangan berpunca daripada itu.

Katanya, kasut memandu yang ideal tidak terlalu tebal atau nipis, dengan cengkaman yang cukup untuk menekan pedal, yang membolehkan pemandu merasai sejauh mana pedal ditekan atau dilepaskan selain menolong seseorang menekan brek dengan kuat dalam situasi kecemasan .

Kasut juga tidak boleh terlalu lebar agar tidak menekan pedal lain secara tidak sengaja.

“Idea untuk memandu sambil berkaki ayam ini tercetus apabila mahu kaki merasakan pedal kereta,” kata pengurus latihan Despark College kepada FMT.

“Pemandu profesional juga mahukan perasaan itu, tetapi mereka tahu bahawa berkaki ayam sahaja tidak akan membantu dalam keadaan kecemasan, oleh itu mereka memakai kasut memandu yang sesuai.

“Berkaki ayam atau memakai selipar boleh menyebabkan perkara tidak diingini berlaku. Sekiranya basah, anda mungkin kehilangan kawalan pedal dan menyebabkan kemalangan. Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan kecederaan parah pada kaki anda.

“Dengan pemakaian kasut yang betul, anda boleh menekan brek dengan cepat dan memberi sokongan untuk perjalanan jauh. Kasut berprofil rendah adalah terbaik untuk memandu.

“Nasihat saya, sentiasa memandu dengan memakai kasut.”

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.