Festival muzik adalah suatu acara yang biasanya dipenuhi dengan kumpulan kugiran atau penyanyi membuat persembahan, dihadiri pula oleh ramai peminat hiburan dan merupakan pengalaman hidup yang sukar dilupakan.
S7. Fyre Festival - 2017
Fyre Muzik Festival dilanda musibah
Fyre Festival dirancang akan berlangsung di Bahamas dan diiktiraf sebagai festival paling mewah dan dipromosikan oleh ramai model elit dari di seluruh dunia. Pembeli tiket berharga antara RM 4970 hingga RM 414,000 telah dijanjikan dengan pelbagai kemudahan seperti penerbangan terus dari Miami, penginapan mewah kapal layar, persembahan artis ternama dan banyak lagi.
Apabila para hadirin mula tiba di pulau itu, mimpi ngeri mereka bermula. Penginapan yang disediakan adalah khemah pelarian yang dikitar semula. Tiada makanan mewah seperti dijanjikan, hanyalah sandwich yang dibungkus dan ianya tidak mencukupi. Di pulau itu juga tiada telefon bimbit atau perkhidmatan internet. Bekalan air bersih juga tidak mencukupi untuk menampung semua para hadirin.
Penganjur festival itu, Billy McFarland, akhirnya mengaku bersalah terhadap penipuan dan dijatuhkan hukuman penjara enam tahun. Kisah malang festival ini turut dijadikan dokumentari di Netflix. (sumber)
6. Woodstock - 1999
Konsert Woodstock 1999 kena malapetaka
Woodstock adalah satu festival muzik terkemuka yang diadakan pada lima tahun sekali. Festival Woodstock paling diingati ialah pada tahun 1969 dengan kehadiran setengah juta pengunjung. 30 tahun kemudian, pihak penganjur ingin mengembalikan zaman hippies pada festival muzik ini. Ia dihadiri oleh 220,000 tetapi bencana sudah mula berlaku sejak awal lagi.
Penganjur gagal mengingatkan pengunjung untuk membawa air yang mencukupi. Orang ramai yang hadir terpaksa membeli air dengan harga USD 4 sebotol. Menurut laporan, lebih daripada 700 pengunjung terpaksa dirawat akibat keletihan dan dehidrasi cuaca panas.
Terdapat lagi pelbagai isu seperti kawalan keselamatan yang bermasalah, kadar penggunaan tiket palsu yang tinggi dan banyak lagi. Festival yang berlangsung pada tahun 1999 itu merupakan Festival Woodstock yang terakhir. (sumber)
5. TomorrowWorld - 2015
Tomorrowworld 2015 kena bencana
Pada tahun 2015, Festival TomorrowWorld di Bukit Chattahoochee, Georgia, hampir bertukar menjadi rusuhan. Hujan lebat menjadikan tapak festival itu bertukar menjadi padang lumpur yang teruk dan penganjur membataskan pengangkutan pulang. Ia menyebabkan ribuan pengunjung terkandas.
Bagi yang mampu, bayaran sekitar RM 400 dikenakan untuk menaiki bas yang terhad bilangannya. Bagi yang tidak, mereka terpaksa berjalan sejauh 8km untuk keluar dari kawasan itu.
Ramai yang memutuskan untuk tidur di tepi jalan tanpa bekalan makanan dan air yang mencukupi kerana kepenatan. Festival yang mula diasaskan di Belgium itu akan dikenang sebagai salah satu festival terburuk dalam sejarah. (sumber)
4. Glastonbury - 1990 dan 2005
Festival Muzik Glastonbury konsert dilanda tsunami
Ia amat menghairankan apabila penganjur membiarkan bencana terjadi kepada Festival Glastonbury yang sudah dua dekad berlangsung. Festival yang sepatutnya diingati kerana persembahan barisan artis terkenal menjadi festival yang diingati kerana 'kesesakannya'.
Pada tahun 1990, lebih daripada 75,000 pengunjung berasak-asak menghampiri Pentas Piramid festival ini yang terkenal sehingga menyebabkan rempuhan besar. Kugiran juga terpaksa berhenti beraksi untuk memberikan ruang kepada helikopter untuk mendarat bagi membantu mereka yang cedera.
Pada 2005, para pengunjung festival sekali lagi berdepan risiko apabila hujan lebat menyebabkan tapak perkhemahan dan kawasan persembahan dipenuhi air setinggi 1.2 meter.
Pihak penganjur terpaksa membaiki masalah saliran bernilai jutaan ringgit sebelum ia diteruskan dua tahun kemudian. Walaupun mempunyai kisah buruk, Glastonbury masih dianggap salah satu festival terbaik dalam dunia muzik. (sumber)
3. Bestival - 2008
Amy Winehouse Bestival 2008 masalah dadah
Amy Winehouse Bestival 2008 masalah dadah
Keadaan padang yang berlecak adalah perkara biasa di kebanyakan festival muzik. Namun, tiada siapa menyangka bahawa Bestival 2008 akan mengalami cuaca yang begitu buruk. Guruh, kilat, hujan dan angin yang kuat telah menghuru-harakan keadaan di tapak perkhemahan.
Banyak khemah yang tenggelam dalam lumpur atau terbang ditiup angin kencang. Pentas utama juga mula tenggelam ke dalam tanah. Walaupun menghadapi cuaca buruk, para pengunjung tetap menanti persembahan utama dari penyanyi Amy Winehouse.
Malangnya, Winehouse tiba 40 minit lewat. Dia yang bergelut dengan masalah dadah dan ketagihan alkohal kelihatan terhuyang-hayang di atas pentas. Winehouse juga hanya beraksi selama 30 minit sahaja sebelum menghentikan persembahan. Penyanyi itu akhirnya di 'boo' oleh pengunjung. Penyanyi itu mati tiga tahun kemudian akibat pengambilan alkohol berlebihan. (sumber)
2. Electric Daisy Carnival - 2010
EDC 2019 konsert kena musibah
Pada tahun 1990-an, Electric Daisy Carnival (EDC) menerima sambutan hebat ekoran muzik elektronik yang popular ketika itu. Festival muzik ini sudah beberapa kali diadakan di sekitar Amerika dan Puerto Rico.
Malangnya, festival popular ini juga turut mengundang ramai remaja bawah umur untuk hadir menontonnya. Pada festival EDC 2010 yang diadakan di Los Angeles, ia dipenuhi oleh remaja di bawah usia 18 tahun. Penggunaan dadah juga berleluasa dan malangnya ia menyebabkan kematian seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.
Pihak berkuasa tempatan memaksa EDC untuk keluar dari kawasan mereka. Pihak penganjur berasa hampir mustahil untuk mengadakan EDC yang seterusnya di tapak yang sama. Namun, mereka berjaya mendapatkan tapak baru di Las Vegas dan mencapai kehadiran pengunjung paling ramai pada 2014 dengan kehadiran sebanyak 700 ribu orang. (sumber)
1. Festival Rock Powder Ridge - 1970
Festival Rock Powder Ridge Berakhir Dengan Malapetaka
Festival ini mendapat gelaran "konsert rock terbesar yang tidak pernah berlaku". Berikutan kejayaan Woodstock, ramai penganjur cuba mengadakan festival yang mampu menarik ramai orang. Pada tahun 1970, lebih daripada 50,000 orang dijangka hadir di Festival Rock Powder Ridge di Middlefield, Connecticut.
Sebulan sebelum bermulanya festival, bandar Middlefield menolak permohonan untuk mengadakan festival kerana penduduk tempatan telah mengambil tindakan undang-undang untuk menghalangnya. Ketika internet belum lagi wujud ketika itu, ramai yang tidak mengetahui tentang pembatalan itu.
Hampir 30,000 orang muncul di tapak festival pada tarikh yang dijanjikan tetapi malangnya tiada muzik, tiada makanan atau bekalan air. Apa yang ada ketika itu ialah lambakan dadah yang dibawa pengunjung.
Selama beberapa hari, kawasan itu mengalami 'krisis dadah' kerana pengunjung tetap menetap di situ dan menggunakan bahan terlarang itu. Ada doktor-doktor sukarelawan telah hadir untuk membantu menangani krisis ini. (sumber)