Mayat mangsa pertama nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dikenal pasti sebagai Hayati Lutfiah Hamid yang berasal dari Sidoarjo, Surabaya.


QZ8501: Mayat mangsa pertama dikenal pasti

Mayat pertama nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dikenal pasti sebagai Hayati Lutfiah Hamid yang berasal dari Sidoarjo, Surabaya, menurut Pusat Pengecaman Mayat Mangsa Bencana (DVI) di sini.

Ketua DVI Jawa Timur Komisioner Besar Budiyono berkata pengesahan identiti wanita itu, antara 162 penumpang dan anak kapal pesawat yang terhempas di Laut Jawa pada Ahad, dibuat berdasarkan bedah siasat, padanan cap jari dan barangan peribadi milik mangsa.

WARIS keluarga tidak dapat menahan kesedihan ketika menerima keranda jenazah Hayati Lutfiah, penumpang yang terbabit nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 pada majlis penyerahan di Hospital Bhayankara, Surabaya hari ini. - Foto Osman Adnan

"Kad pengenalan dan rantai tertulis nama Hayati diperoleh bersama-sama mangsa dan perkara ini turut disahkan oleh waris dan anggota keluarga," katanya pada sidang akhbar di Pusat Krisis, Hospital Bhayangkara dekat sini pada Khamis.

Jenazah wanita itu telahpun diserahkan kepada keluarganya hari ini.

Jenazah Allahyarham adalah antara dua mayat yang pertama tiba di hospital ini pada petang Rabu, satu lagi merupakan mayat lelaki.



Sambil menjelaskan identiti mayat lelaki itu belum dikenal pasti, Budiyono berkata:

"Mayat ini ada rambut panjang, tahi lalat di atas kiri bibirnya dengan tinggi lebih kurang 145 cm ke 150 cm."

Dalam pada itu, faktor cuaca buruk di perairan berhampiran Pangkalan Bun, Kalimantan, menjejaskan usaha mencari bangkai pesawat kemalangan yang masuk hari kelima hari ini.

Anggota Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia Antonius Toos Sanitioso menjangkakan usaha itu berterusan sekurang-kurangnya seminggu lagi atas faktor cuaca.

Beliau berkata keutamaan adalah mencari bangkai pesawat Airbus A320 milik AirAsia Indonesia itu terlebih dahulu yang kemudiannya akan memberi petunjuk berhubung kedudukan kotak hitam pesawat.

"Mungkin seminggu diperlukan untuk mencari dan menemui 'flight recorder' itu dan ini bergantung kepada keadaan laut sama ada tenang (atau sebaliknya) selain tiada gangguan bunyi mahupun halangan lain," katanya pada sidang akhbar di Pusat Krisis itu.

Toos menarik perhatian bahawa kerajaan Indonesia telah menyediakan kemudahan dan kepakaran termasuk kapal pencari khusus dalam usaha mencari bangkai pesawat serta kotak hitam itu.




Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.