Perarakan 1,180 bot nelayan dengan kibaran Jalur Gemilang dari Kuala Dungan ke Kuala Kemaman sejauh 100 kilometer hari ini, dicatatkan sebagai Perarakan Bot Terbesar Dunia dalam Guinness World Records apabila mengatasi rekod perarakan 670 bot di Sungai Thames, London pada 2012.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata kejayaan itu adalah bukti kepada kesungguhan dan kecekalan golongan nelayan melalui semangat Merdeka.
Beliau berkata, ini juga boleh dijadikan dorongan kepada rakyat Malaysia lain untuk sama-sama mengibar Jalur Gemilang di mana sahaja mereka berada.
"Penyertaan nelayan hari ini menyemarakkan sambutan bulan Kemerdekaan bagi membuktikan mereka bangga menjadi nelayan, dan hari ini mereka mahu membuktikan mereka cintakan Malaysia kepada dunia," katanya kepada pemberita selepas sambutan perarakan bot nelayan itu di Dataran Kuala Kemaman di sini, hari ini.
Shabery berkata, dengan tema 'Malaysia...Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta', golongan nelayan membuktikan mereka juga mampu untuk mengukir nama Malaysia dalam rekod dunia.
Semua bot berkenaan yang berarak dari Kuala Dungun sejak 7 pagi tadi, tiba di Kuala Kemanan kira-kira 12.30 tengah hari dan disambut kira-kira 15,000 penduduk sekitar Kemaman dan Dungun selain pelancong dari luar.
Kejayaan perarakan itu turut disahkan wakil Guinness World Records, Fortuna Burke, sekali gus mengatasi rekod yang pernah dicatatkan di Sungai Thames pada 2012 sempena Sukan Olimpik.
Ketua Sekretariat program itu, Mustafa Ab Rahman berkata kira-kira 6,000 nelayan menyertai program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu yang dirancang tahun lepas.
"Selepas kejayaan mencatat Rekod Malaysia dengan 248 bot pada tahun lepas, hari ini kita mencatat sejarah baru di Kemaman," katanya.
- BERNAMA