Georgetown: Empat kereta rosak teruk selepas dihempap papan iklan yang terjatuh dari bumbung sebuah bangunan lima tingkat akibat dipukul ribut dalam kejadian di Krystal Point, Bayan Baru di sini, malam ini.
Kejadian berlaku pada jam 7 malam apabila angin kencang disusuli hujan lebat menyebabkan papan iklan berkenaan jatuh lalu menghempap kereta jenis Citroen, BMW, Perodua Myvi dan Kelisa yang diletakkan di kawasan parkir kereta di luar bangunan berkenaan.
Saksi dikenali sebagai Mariam, 24, berkata sebelum kejadian, dia berada di hadapan bangunan itu sambil melihat keadaan awan yang tiba-tiba bertukar gelap dan ketika itu hujan rintik-rintik.
"Tidak lama kemudian saya bunyi kuat seperti ketulan batu jatuh dari atas bumbung sebelum papan iklan jatuh menjunam dan terus menghempap beberapa kereta dan saya berlari masuk ke dalam bangunan untuk menyelamatkan diri.
"Selepas itu, ramai orang berkerumun untuk melihat kejadian berkenaan dan nasib baik tiada mangsa dilaporkan cedera," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Komander Kanan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Abdul Rahim Ismail berkata, sepasukan pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati papan iklan sebesar enam hingga 12 kaki yang berada di bahagian bumbung di tingkat lima runtuh dan jatuh.
Beliau berkata, runtuhan itu menyebabkan empat kenderaan rosak teruk dan pihaknya akan mengarahkan pihak pengurusan bangunan mengosongkan kawasan runtuhan untuk kerja membersihkan saki baki runtuhan.
"Kerja pembersihan akan dilakukan sepenuhnya esok dan tiada mangsa dilaporkan mengalami kecederaan akibat runtuhan itu.