Sambutan hari lahir panda gergasi Xing Xing dan Liang Liang di Zoo Negara


Sambutan hari lahir bersama tenuk takda ka?

KUALA LUMPUR - Orang ramai yang lahir pada 23 Ogos dipelawa untuk menyambut hari lahir mereka bersama-sama pasangan panda gergasi 'Xing Xing' dan 'Liang Liang' secara percuma di Pusat Konservasi Panda Gergasi (GPCC), Zoo Negara pada tarikh tersebut.

Timbalan Presiden Zoo Negara, Rosly@Rahmat Ahmat Lana berkata buat julung kalinya pihaknya mengadakan sambutan hari lahir secara besar-besaran bersama pengunjung yang lahir pada tarikh yang sama dengan pasangan panda itu dan akan dijadikan sebagai acara tahunan Zoo Negara.

"Pasangan panda ini akan menyambut hari lahirnya yang ke-9 pada 23 Ogos ini, jadi kita menjemput sesiapa sahaja tidak kira usia yang lahir pada tarikh yang sama untuk menyambutnya bersama-sama secara percuma.

"Mereka hanya perlu menunjukkan MyKad pada kaunter pembayaran di hadapan Zoo Negara untuk mendapatkan tiket kemasukan percuma pada hari itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Rosly berkata selain dapat memasuki Zoo Negara dan GPCC secara percuma, mereka juga berpeluang menyertai majlis sambutan hari lahir secara beramai-ramai di GPCC yang dianggarkan akan bermula antara pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari pada 23 Ogos nanti.

"Kami menganggarkan kira-kira 5,000 pengunjung yang akan hadir untuk memeriahkan sambutan itu dan cabutan bertuah serta hadiah istimewa juga akan diberikan kepada mereka yang menyambut hari lahir pada tarikh itu.

"Kami juga turut menyediakan 'kek' istimewa iaitu buah-buahan kegemaran pasangan panda seperti epal dan lobak yang dibekukan menjadi bentuk sebuah kek," katanya. -Bernama

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.