Terkini! Lelaki Mengaku Utusan Sultan Sulu Ditahan!

Lelaki Mengaku Utusan Sultan Sulu Ditahan

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)


Lelaki Mengaku Utusan Sultan Sulu Ditahan

LAHAD DATU: Seorang lelaki yang mengaku dirinya diberi kuasa oleh ‘Sultan Sulu’ untuk mengurus orang Suluk di daerah ini diberkas di Kampung Long Danau, Jalan Silabukan, kira kira 16 Kilometer (km) dari bandar ini.


Lelaki berusia 57 tahun itu ditahan pada kira-kira 5.30 pagi Selasa dalam operasi khas diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) berdasarkan maklumat Bahagian Pertahanan ESSCom.

Ketua Pengarah ESSCom, Datuk Mohammad Mentek berkata, lelaki itu ditahan kerana memasang bendera Kesultanan Sulu yang dikhuatiri boleh mempengaruhi semangat patriotik orang Suluk yang sudah lama menetap atau menjadi warganegara di negeri ini.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi butiran lanjut identiti lelaki yang hanya memiliki salinan kad pengenalan itu atas faktor keselamatan.

Pihak ESSCom mengesan bendera itu dipasang di rumah lelaki berkenaan semasa anggota keselamatan ESSCom diketuai pegawai memerintah 18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) membuat rondaan kira-kira pukul 9 malam di situ Ahad lepas, katanya dalam kenyataan, di sini.

“Anggota kita yang membuat rondaan melihat ada bendera tersebut dipasang di salah satu rumah di kampung tersebut yang telah menimbulkan rasa curiga dan berikutan itu, anggota keselamatan tersebut telah melaporkan perkara itu kepada Bahagian Pertahanan ESSCom dan seterusnya memaklumkan Briged ESSCom yang berpangkalan di Cenderawasih (Felda Sahabat).

“Anggota pertahanan dan keselamatan ESSCom yang membabitkan satu platun masing-masing dari RAMD, komander tentera dan VAT 69 (polis) telah mengepung perkampungan itu sebelum menyerbu rumah yang disyaki kira-kira pukul 5.30 pagi,” katanya.

Beliau berkata, suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah Lahad Datu untuk siasatan lanjut.

Long Danau terletak tidak jauh dari Kampung Tanduo yang merupakan medan pendaratan kumpulan penceroboh atau pengganas Sulu pada Februari tahun lalu.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.