Lelaki OKU meninggal tepat pada hari yang dipangkah di kalender

Pangkah Tarikh Di Kalendar Hari Meninggal Dunia

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Pangkah tarikh di kalendar hari meninggal dunia Anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) cuba memberi rawatan awal, namun mendapati Mokhtar sudah pun meninggal dunia.

Tindakan seorang lelaki OKU memangkah pada tarikh hari dia meninggal dunia pada sebuah kalendar menjadi misteri kepada ahli keluarganya sehingga sekarang.

Pemuda terbabit, Mokthar Yunus, 34, menghembuskan nafas terakhir di hadapan kakaknya, Syarifah Ibrahim, 45, di Felda Tenang, di sini, kira-kira jam 9.35 pagi kelmarin.

Menurut Syarifah, adiknya itu sebelum ini sering diserang penyakit gastrik dan beberapa hari sebelum meninggal, dia hanya mengadu sakit perut dan keletihan.

Katanya, adiknya itu yang masih bujang mengalami masalah mental dan tinggal seorang diri di rumah peninggalan ibu bapa mereka terletak di belakang rumahnya.

“Pagi sebelum dia meninggal dunia, saya pergi ke rumahnya untuk hantar nasi dan ketika itu dia sedang berbaring.

"Memandangkan keadaannya kurang sihat, saya ajak dia ke rumah saya sementara tunggu kenderaan untuk bawanya ke Hospital Besut," katanya.

Bagaimanapun kata Syarifah, sebaik adiknya duduk di atas kerusi di rumahnya, Mokthar tiba-tiba rebah tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang dimaklumkan sejurus kemudian.

“Dia adik bongsu saya berlainan bapa, kematiannya memang mengejutkan kerana ia berlaku depan mata saya sedangkan keadaannya sebelum ini tidak begitu serius,” katanya.

Syarifah berkata, lebih membingungkan mereka sekeluarga, terdapat kalendar kertas yang berada di atas lantai bahagian hujung kepala tempat Mokhtar tidur yang telah berpangkah iaitu pada tarikh sama dia meninggal dunia.

Sehingga kini tiada sesiapa mengetahui apakah tujuan mangsa memangkah pada tarikh tersebut sama ada mempunyai temu janji atau program.

Kata Syarifah, dia juga baru mengetahui adiknya itu dipercayai menghidap penyakit paru-paru berair dan asma berdasarkan ubat yang diambilnya.

“Dua hari sebelum dia meninggal, saya bawanya ke Hospital Besut kerana dia mengadu sakit perut.

"Tak tahu pula saya dia ada penyakit lain, tambahan dia menjadi pendiam sejak belakangan ini,” katanya.

Jenazah Mokthar dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Tenang, Hulu Besut.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.