(Gambar) Aamir Khan mengerjakan Haji di Mekah

SALAH seorang Khan yang popular di kalangan penggemar filem Bollywood selain Shahrukh Khan dan Salman Khan adalah Aamir Khan atau nama sebenarnya Aamir Hussain Khan, 49.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Antara mereka bertiga, Aamir Khan sering berkata yang pendapatannya rendah berbanding Shahrukh dan Salman.

"Saya tidak dapat bertolak ansur dengan perkara yang melibatkan perasaan dan sebab itu jugalah saya tidak dapat dibeli dengan wang. Sampai sekarang, saya memilih tawaran berlakon bukan kerana wang dan itu adalah kekuatan saya," katanya yang sekarang ini mampu tersenyum lebar kerana filem Dhoom 3 lakonannya mendapat sambutan hangat.


Terkenal sebagai seorang yang mementingkan kesempurnaan, Aamir telah melakonkan pelbagai watak sejak pembabitannya sebagai anak seni, 25 tahun lalu.

Dia pernah membawa watak lelaki romantik, guru, pemuda kampung dan penyangak. Apa yang penting setiap watak yang dilakonkan oleh Aamir penuh dengan jiwa dan sebab itu jugalah filem lakonannya mendapat sambutan hangat.


"Bukan saya tidak memerlukan wang. Kita semua perlukan wang tetapi kalau bandingkan pendapatan saya dengan aktor lain, saya yang paling kurang. Biarpun pendapatan kurang, saya tetap gembira kerana saya sering melakukan projek berdasarkan kata hati.


"Saya tidak pernah bekerja kerana nak mengejar wang. Bagilah RM1 juta untuk sebuah filem, kalau saya tidak suka, saya tidak akan berlakon filem tersebut. Saya tidak akan bertolak ansur dengan perasaan dan tidak mudah gelap mata apabila ditawar bayaran mahal," kata aktor yang mula terkenal pada tahun 1988 menerusi filem Qayamat Se Qayamat Tak.

Dia juga pernah terlibat dengan filem komersial seperti Dil Hai Ke Manta Nahin, Jo Jeeta Wohi Sikandar, Hum Hain Rahi Pyar Ke, Raja Hindustani dan Sarfarosh.

Namun pada 2001, Aamir mengalihkan tumpuan kepada filem yang keluar daripada kepompong komersial seperti Lagaan dan ternyata filem tersebut tidak menghampakan.

Selepas itu dia juga cenderung berlakon filem cetera seperti Rang De Basanti, Fanaa, Ghajini, 3 Idiots dan Dhobi Ghat yang mendapat kritikan teruk. Dia juga pernah mengarah dan berlakon dalam filem Taare Zameen Par pada tahun 2007 yang berkisar dengan kanak-kanak berpenyakit disleksia.

"Sukar bagi saya untuk tidak memikirkan tentang tanggungjawab ketika bekerja. Saya boleh berlakon apa sahaja genre filem, kalau ia tidak sesuai dengan kemahuan atau kata hati, saya tidak akan terima.


"Begitu juga dengan filem Delhi Belly. Kalau dari awal saya tidak yakin dengan produk itu, pasti saya tidak akan terbit kerana ia berkisar tentang kehidupan sebenar. Bagi saya filem komedi dewasa itu sebahagian daripada warna kehidupan," katanya penuh yakin.

Jelasnya untuk menerbitkan filem Delhi Belly yang terang-terang menggunakan bahasa kesat, dia awal-awal telah menjelaskan kepada orang ramai.

"Memang filem itu dilabelkan untuk orang dewasa. Saya tiada masalah untuk memberitahu orang ramai bahawa filem itu bukan filem biasa, kalau mereka tidak suka, jangan tengok," kata Aamir yang merupakan bapa kepada tiga orang anak itu.


Dia yang sentiasa menyelitkan kesedaran tentang masalah sosial dalam setiap filem atau program bual bicara kelolalaannya, Satyamev Jayate, bagaimanapun tidak berminat untuk menyertai politik bagi menangani masalah tersebut.

"Saya tidak berminat dengan politik. Selagi ada kudrat, saya akan gunakan tenaga empat kerat itu dengan sebaik-baiknya. Kenapa orang menyertai politik?. Kerana mereka mahu membantu masyarakat.

"Pada saya di mana sahaja berada, saya boleh memberi sumbangan kepada masyarakat tanpa perlu menyertai politik. Melalui program bual bicara Satyamev Jayate pun saya dapat membantu masyarakat," katanya yang telah mengerjakan ibadat haji pada 2012.


ADALAH menjadi impian Aamir Khan untuk menghasilkan filem berkisar kehidupan pemimpin legenda India, Maulana Abdul Kalam Azad, pejuang Muslim yang sekular.

Hasrat itu berkobar-kobar kerana dia mempunyai pertalian darah dengan pemimpin berkaliber itu yang pernah menjadi Menteri Pelajaran India sewaktu pemerintahan Jawaharlal Nehru pada 1947 hingga 1958.

"Harap satu hari nanti, saya boleh menggunakan kebolehan dalam bidang seni untuk menghasilkan filem tentang Maulana Azad. Adalah menjadi impian saya untuk menjadikan kisah kehidupannya sebagai teladan kepada orang ramai," katanya sewaktu menghadiri Apeejay Kolkata Literary Fest 2014, baru-baru ini bagi menghargai perjuangan Maulana Azad.

Dalam pada itu, Aamir yang berlakon sebagai penyangak dalam filem Dhoom 3, berkata, semangat juang yang dimiliki oleh Maulana Azad sering dijadikan inspirasi.

"Ikutlah kata hati kamu. Itulah mesej dia kepada pak cik saya, pengarah Naseer Khan sewaktu awal-awal pembabitannya dalam seni. Saya percaya dengan kata hati dan itulah jugalah mesej yang tersemat dalam filem 3 Idiots, lakonan saya.

"Jika bapa saudara saya tidak mendapat sokongan Maulana Azad, sudah pasti dia tidak akan berjaya dalam industri ini. Begitu juga dengan bapa saya yang terlibat dalam bidang ini kerana sokongan bapa saudara. Kalau bapa tidak terlibat dalam seni, saya pun tidak akan menjadi seperti sekarang," imbasnya.

Dalam pada itu, sikap cerewet Aamir Khan dalam memilih watak ternyata membuahkan hasil kerana terkini filem lakonannya, Dhoom 3, arahan Vijay Krishna Achanya ternyata berjaya mendapat kutipan tertinggi.

Filem yang turut dijayakan oleh Abhishek Bachchan, Katrina Kaif, Uday Chopra dan Jackie Shroff, sejak ditayangkan pada 20 Disember lalu mendapat sambutan hangat di India dan luar negara.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.