Jackie Chan Rasa Tak Puas Hati dalam pembikinan filem Industri

Hidup matinya hanyalah pada lakonan aksi seni mempertahankan diri. Malah beliau pernah hampir menemui ajal tatkala menjayakan salah satu filem aksi berjudul, Armour of God yang ditayangkan pada tahun 1986.


Justeru melihat kepada perkembangan kebanyakan filem aksi hari ini terutama filem aksi yang melibatkan seni mempertahankan diri, lagenda filem aksi bertaraf antarabangsa kelahiran Hong Kong, Jackie Chan meluahkan rasa tidak puas hatinya.


Ini kerana, kata figura yang telah melakonkan lebih 150 filem aksi ini, penghasilan kebanyakan filem aksi zaman sekarang rata-rata menggunakan 'sentuhan' teknologi. Sekaligus menyebabkan nilai dan keaslian sesebuah filem aksi itu semakin hilang sehingga adakalanya menjadikan karya tersebut tidak realistik.

"Filem-filem aksi hari ini banyak yang menggunakan teknologi dan teknik pengimejian komputer (CGI). Bagi saya ia tidak bagus. Sekarang ni mudah saja nak buat aksi terbang sana terbang sini. Muncul dari satu tempat ke satu tempat yang lain dengan pantas. Realitinya bukan begitu. Saya tak suka.

"Tapi saya gembira kerana saya masih suka pendekatan cara lama (old school) dalam sesebuah filem aksi itu. Lebih realistik dan lebih memberi impak", kata Jackie Chan ketika ditemui pada sesi temuramah bertempat di Hotel Ritz Calton Kuala Lumpur, petang semalam.

Pemilik nama sebenar Chang Kong Sang, 59, ini berkunjung ke Malaysia bagi memenuhi jadual promosi filem terbarunya, Police Story 3. Selain beliau turut meluah masa pada sesi ramah mesra bersama peminat di pusat membeli belah terkemuka, Pavillion, malam tadi.



Tambah Jackie lagi, tempoh pembikinan sebuah filem aksi juga sudah dipendekkan. Kalau kira-kira 10 tahun dulu, untuk sebuah filem aksi memerlukan masa sekurang-kurang enam bulan. Berbeza dengan penggambaran hari ini yang mengambil masa hanya dua bulan.

"Sekarang ni kebanyakkan penerbit ingin memotong kos penerbitan, kerana itu tempoh masa penggambaran dipendekkan. Sekaligus elemen seni mempertahankan diri yang diketengahkan kurang menarik dan kurang memberi impak yang sebenar", ujarnya yang turut mengakui sudah letih berlakon filem aksi tetapi merasakan belum masanya lagi untuk beliau bersara.

Lantas, Jackie memberitahu demi memastikan kemahiran seni mempertahankan diri dalam dunia lakonan tidak hilang ditelan zaman, beliau berhasrat mahu menubuhkan sebuah Akademi khas untuk pelakon-pelakon aksi seni mempertahankan diri.

"Tahun depan, saya merancang mahu membuka sebuah akademi iaitu akademi lakonan aksi seni mempertahankan diri. Terbuka kepada semua pelakon aksi. Saya sendiri yang akan mengajar mereka bagaimana untuk melakonkan babak-babak aksi.

Sementara itu mengenai filem Polis Story 3, Jackie berkata beliau teruja dengan instilasi terbaru karya yang berkisarkan dunia polis itu. Filem tersebut turut menampilkan lakonan Tan Sri Dato' Michelle Yeoh.

Tambah menarik, dalam filem arahan pengarah Ding Sheng itu, Jackie sebagai pegawai polis Republik China, memakai seragam tentera. Jackie juga sengaja mengubah gaya rambutnya yang tidak bertukar selama 30 tahun, demi mengikut gaya rambut polis China.

Selain itu beliau mengekalkan stail rambut yang sama sejak 1986 selepas beliau mengalami kemalangan semasa merakamkan filem 'Amour of God' dan mengalami kecederaan kepala yang teruk dan hampir kehilangan pendengarannya.

Jackie Chan akui sudah letih berlakon aksi namun beliau belum berhasrat mahu bersara.

Filem yang juga turut menjalani penggambaran di beberapa lokasi di negara kita ini bakal ditayangkan pada 24 Disember 2013.

Ditanya sama ada beliau bercadang mahu menjalani lagi penggambaran di Malaysia, mungkin untuk Police Story 4?, ini jawabnya,

"Tanyalah juga pada Michelle Yeoh. Kalau dia okay, saya okay saja! Dia bos saya", kata Jackie Chan sambil tersenyum lebar.
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.