Kutipan Cukai Petroleum Malaysia Mencecah RM37.56 Bilion Pada 2013


Kutipan Cukai Petroleum Mencecah RM37.56 Bilion Pada 2013

KUALA LUMPUR, 7 April - Kerajaan Persekutuan mengutip cukai petroleum berjumlah RM37.56 bilion setakat 11 bulan sehingga Nov 2013, dibantu peningkatan hasil kutipan dari sektor hiliran.

Jumlah cukai dibayar syarikat petroleum hiliran setakat Jan hingga Nov 2013 oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) meningkat kepada RM11.18 bilion, berbanding RM10.99 bilion pada 2012 dan RM9.40 bilion pada 2011.

Manakala bagi sektor huluan, jumlah cukai dibayar setakat Jan hingga Nov 2013 ialah RM26.38 bilion, berbanding RM34.93 bilion pada 2012 dan RM28.15 bilion pada 2011, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 1.

Menurut laporan itu, keseluruhan jumlah kutipan cukai petroleum pada 2012 ialah RM45.92 bilion, manakala 2011 sebanyak RM37.55 bilion.


Peratusan sumbangan cukai petroleum berbanding keseluruhan kutipan cukai LHDNM masih di atas paras 30 peratus, iaitu 32.1 peratus (11 bulan sehingga Nov 2013), berbanding 36.8 peratus pada 2012 dan 34.3 peratus pada 2011.

Menurut laporan itu lagi, pengauditan yang dijalankan antara Jun 2013 hingga September 2013 mendapati prestasi Bahagian Petroleum LHDNM telah mencapai sasaran ditetapkan terhadap syarikat petroleum huluan dan syarikat petroleum hiliran.

Katanya, bahagian itu berjaya mencapai sasaran antara 106 peratus hingga 256 peratus bagi tempoh 2011 dan 2012.

Bagaimanapun, bagi 2013 iaitu untuk tempoh Januari hingga Jun 2013, Bahagian Petroleum baru mencapai KPI antara 32 peratus hingga 49 peratus.

LHDNM dalam laporan maklum balasnya menjelaska pencapaian KPI yang kurang untuk Januari hingga Jun 2013 adalah disebabkan kelewatan pembayar cukai mengemukakan dokumen diperlukan.

Menurutnya, mengambil kira hasil sehingga November 2013, pencapaian KPI pada 2013 telah melebihi sasaran antara 137 peratus hingga 150 peratus.

Selain itu, kes rayuan mengenai taksiran telah berjaya diselesaikan oleh pegawai audit luar dalam tempoh yang ditetapkan.



LHDNM juga telah mengambil tindakan terhadap sebahagian besar penemuan yang dibangkitkan pihak Audit, termasuk mengeluarkan surat peringatan, membenarkan bayaran tunggakan cukai secara ansuran, mengenakan kenaikan cukai kepada syarikat yang gagal membayar anggaran cukai serta syarikat yang gagal membuat anggaran cukai.

Menurut LHDNM lagi, ia juga mengenakan sekatan ke luar negara serta penguatkuasaan tindakan guaman sivil terhadap beberapa syarikat dan pengarah syarikat.

Tindakan segera ini telah membolehkan LHDNM memperolehi hasil melalui cukai tambahan dan penalti.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.