Header Ads

Up2date Terkini!
recent

Kerajaan Sabah Bentang Bajet Berjumlah RM4.622 Bilion Untuk 2014

Kerajaan Sabah memperuntukkan RM4.622 bilion bagi belanjawan negeri itu pada tahun 2014 berbanding RM4.088 bilion pada tahun 2013.

Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (2014) di Dewan Undangan Negeri di sini Jumaat berkata Bajet 2014 juga merupakan bajet terbesar dalam sejarah belanjawan negeri Sabah sejak 50 tahun lepas.

Katanya anggaran perbelanjaan Sabah dalam Bajet 2014 merupakan peningkatan sebanyak 75.77 kali ganda berbanding 50 tahun lepas.

"Daripada peruntukan perbekalan tahun 2014 sebanyak 4,621.5 juta, sejumlah RM702.51 juta diperuntukkan untuk Emolumen, RM1,736.59 juta untuk Perbelanjaan Berulang dan RM2,182.4 juta untuk Perbelanjaan Khas," katanya.

Menurut Musa Emolumen bagi 2014 meningkat sebanyak RM39.34 juta atau 5.93 peratus berbanding anggaran 2013 berjumlah RM663.17 disebabkan pelarasan gaji pegawai perkhidmatan awam negeri di bawah Sistem Saraan Malaysia yang telah dilaksanakan sejak 2013.

Anggaran Perbelanjaan Berulang pada tahun depan juga meningkat sebanyak RM648.66 juta atau 59.62 peratus bagi memastikan jentera kerajaan berjalan lancar, berkapasiti tinggi, efektif dan efisien.

Peningkatan bagi Perbelanjaan Berulang juga disebabkan keperluan untuk bayaran balik Hutang Bon kerajaan yang matang berjumlah RM568.9 juta dan bayaran Balik Hutang Persekutuan berjumlah RM171 juta.

Anggaran Perbelanjaan Pembangunan pula sebanyak RM1,200.3 juta iaitu RM838.43 juta daripada Kerajaan Negeri dan RM361.87 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan.

Musa berkata dari segi agihan perbelanjaan pembangunan mengikut sektor, sektor ekonomi mendapat peruntukan tertinggi iaitu sebanyak RM893.15 juta diikuti Sosial (RM266.4 juta), Pentadbiran (RM30.75), Simpanan Luar Jangka (RM10 juta).

Bagi merealisasikan bajet yang bertemakan 'Menjamin Kesinambungan dan Kesejahteraan Rakyat', Musa yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata kerajaan menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM4,583 juta.

Katanya sasaran kutipan hasil berkenaan merupakan sasaran tertinggi berbanding RM3,828 juta pada 2013.

"Tiga sumber utama iaitu cukai jualan minyak sawit mentah, royalti petroleum dan penerbitan bon menyumbang lebih 70 peratus kepada keseluruhan hasil negeri.

Sumber tradisi yang dijangka akan menyumbang terhadap peningkatan hasil ialah sumber air, tanah, terimaan dan sumbangan daripada kerajaan persekutuan, hasil pejabat-pejabat daerah, pertanian perikanan, perkhidmatan haiwan dan perusahaan ternak, sektor pelabuhan dan dermaga," katanya.

Musa berkata bagi memacu momentum pertumbuhan ekonomi negeri, bajet 2014 akan lebih memfokuskan objektif dan strategi seperti mengukuh kedudukan ekonomi, menambah baik infrastruktur asas dan prasarana awam, membasmi kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat dan pembangunan wilayah seimbang.

Bercakap kepada pemberita selepas pembentangan Bajet 2014 itu, Musa berkata bajet itu membuktikan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan menyeluruh, merangkumi bandar dan luar bandar, untuk kesejahteraan seluruh rakyat Sabah.

No comments:

Powered by Blogger.