Sukarelawan Ambulans disogok RM10,000 untuk rentas negeri

Faizal (kiri) menunjukkan antara kelengkapan peralatan untuk kegunaan pesakit dalam ambulans mereka. - Foto NSTP/Ahmad Ismail

SEGAMAT: "Walaupun cuba diupah wang berjumlah RM10,000 utnuk sekali penghantaran satu keluarga rentas empat negeri untuk pulang ke kampung, saya menolaknya kerana etika lebih bernilai," kata sukarelawan Medic IItizam Ambulans, Fairuz Yahya.

Fairuz, 50, yang menetap di Kampung Jawa di sini, berkata di sebalik ambulans miliknya itu hampir tamat tempoh untuk pelupusan dan memerlukan wang untuk penggantian, namun dia tidak gelap mata.


"Saya didatangi seorang lelaki berusia 40-an di rumah untuk khidmat ambulans membawa isteri dan tiga anaknya ke utara tanah air.

"Amanah selaku pengendali ambulans swasta selama lima tahun bersama abang, Faizal Yahya, 53, yang juga pemandu ambulans tetap diutamakan hanya untuk membawa pesakit," katanya bapa kepada tiga anak itu ditemui di rumahnya hari ini.

Katanya, dia sendiri tidak mengetahui latar belakang lelaki berkenaan yang memakai topi keledar, selain penutup hidung dan mulut.


"Lelaki itu juga mengajar saya meletakkan bantal besar di bahagian perut isterinya seolah-olah kandungan sedang sarat bagi memudahkan ketika melalui sekatan jalan raya.

"Pada masa sama, lelaki itu sanggup menyewa pakaian seragam sukarelawan Medic Iltizam Ambulans sebanyak RM500 untuk dipakainya bertujuan penyamaran," katanya.

Fairuz berkata, dia percaya nilai akhlak yang tinggi akan kekal dirahmati Allah SWT, selain tidak mengenakan sebarang bayaran kepada pesakit tidak berkemampuan.


"Sejak 2017 saya sudah memberikan khidmat kepada 700 pesakit di sekitar Segamat, Johor, Selangor dan juga pantai timur dan utara tanah air.

"Walaupun kenderaan ini agak usang, namun ia adalah satu 'anugerah' bernilai bagi saya dan berharap dapat membantu orang ramai yang memerlukan," katanya yang juga pesara tentera. - BH

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.