SHANE Smith bersama buaya yang ditangkapnya. FOTO Facebook/John Hamilton |
New York: Seorang pemburu buaya di Mississippi, Amerika Syarikat terkejut selepas menemukan artifak berusia 5,000 tahun dalam perut reptilia berkenaan.
Shane Smith menemukan anak panah yang dikatakan digunakan suku kaum pribumi Amerika.
Artifak itu ditemukan selepas membelah perut reptilia yang panjangnya mencecah 3.9 meter. |
Pada mulanya, Shane menyangka haiwan itu memakan anak panah terlekat pada haiwan lain yang dimakan reptilia itu.
Namun ahli geologi Mississippi percaya anak panah itu objek tunggal yang terjatuh di tanah sebelum dimakan haiwan berkenaan.
Ahli geologi juga berpendapat objek berkenaan berkemungkinan berusia 5,000 hingga 6,000 tahun, lapor AL.
Penemuan mengejutkan itu dikongsi menerusi Facebook (FB) kilang pemprosesan Shane, Red Antler.
"Kami membelah buaya ini untuk melihat apa yang ada di dalam perutnya.
"Buaya yang dibawa John Hamilton hari ini memberi kejutan terbesar tahun ini," kata hantaran itu.
Pakar sejarah mengatakan anak panah itu digunakan masyarakat pribumi untuk menangkap ikan ketika zaman kuno.
Selain daripada artifak bersejarah itu, terdapat tulang ikan, rambut dan cecair berbau dalam perut reptilia berkenaan.
"Pada mulanya saya tidak mahu memuat naik di dalam FB kerana tiada siapa akan percaya," kata Shane kepada Mississippi Clarion Ledger.
Bagaimanapun dia menukar fikiran kerana menganggap ia sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama masyarakat.
"Saya mungkin menjadi orang pertama di dunia yang menarik keluar anak panah dari dalam perut buaya," katanya.
SOURCE: Hmetro Global
Kongsikan artikel ini: