Usah terlalu gembira makan di luar

Gambar hiasan



PETALING JAYA – Orang ramai yang memenuhi syarat lengkap vaksinasi disaran membuat pilihan bijak berikutan kebenaran makan di kedai atau restoran oleh kerajaan baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan, Dr. Izzar Anwari Abdul Ghani berkata, individu terlibat disarankan makan di kedai yang mempunyai pengudaraan baik memandangkan varian Delta sedang berlegar-legar di luar sana.

“Pastikan pakai pelitup muka berkembar atau jenis N95 ketika keluar dan patuh SOP (prosedur operasi standard). Cuba pergi awal atau semasa tiada orang (pelanggan). Virus Covid-19 bersifat airborne (bawaan udara).

“Hendak merentas daerah juga harus beringat. Hanya benarkan orang yang sudah lengkap divaksin untuk melawat anda dan lawat orang sudah lengkap divaksin,” katanya menerusi platform Instagram beliau hari ini.

Tambahnya, mereka yang mempunyai anak-anak kecil yang belum divaksin disarankan menangguhkan niat untuk merentas daerah kerana golongan itu belum dilindungi.

Beliau turut berpendapat, individu yang bertindak memalsukan e-sijil vaksinasi perlu didakwa atas tuduhan percubaan membunuh.

“Kita kena terima yang kita akan hidup di samping Covid-19 walaupun kelonggaran diberi, tidak bermaksud ancaman wabak itu sudah tiada. Sentiasa beringat.

“Buatlah keputusan yang bijak. Tanggungjawab keselamatan atau kesihatan keluarga di tangan anda, bukannya orang lain,” ujarnya. – K! ONLINE

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.