Tasik Biru memiliki air yang hampir sama jernih dengan air suling. -Wikimedia Commons |
WELLINGTON – Rotomairewhenua yang juga dikenali sebagai Tasik Biru di Taman Tasik Nasional Nelson, New Zealand secara rasminya merupakan tasik air tawar paling jernih di dunia, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Air Tasik Biru mengalir dari Tasik Constance yang terletak di sebelahnya dan aliran air tersebut melalui serpihan empangan yang terhasil sejak sekian lama akibat tanah runtuh.
Empangan itu bertindak sebagai penapis semula jadi yang menapis zarah-zarah, menjadikan Tasik Biru hampir sejernih air suling.
Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Nasional New Zealand (NIWA) melakukan ujian saintifik terhadap air tasik itu dan mengesahkanya sebagai air tawar semula jadi yang paling jernih diketahui manusia.
Ahli hidrologi NIWA, Rob Merrilees merupakan individu pertama yang menemui ciri-ciri mengagumkan pada Tasik Biru yang dibandingkan dengan mata air tawar Te Waikoropupu.
Jarak penglihatan di Tasik Biru adalah antara 70 hingga 80 meter. -Wikimedia Commons |
“Kami menggantung cakera hitam berdiameter satu meter di bawah pelampung dan berlabuh ke pantai. Kemudian kami mendayung sampan sambil melihat cakera itu.
“Jarak di mana ia hilang sepenuhnya memberikan kadar kejernihan air itu, ”jelas pegawai NIWA, Mark Gall.
Kajian menunjukkan bahawa jarak penglihatan di Tasik Biru adalah antara 70 hingga 80 meter yang menjadikannya hampir sama optiknya dengan air suling. -Agensi