Pengamal perubatan tradisional dipukul kerana didakwa lakukan sihir

Tangkap layar video rakaman siaran langsung di Facebook kejadian perselisihan faham antara mangsa (kiri) dan empat suspek yang kini tular di media sosial.

Pengamal perubatan cedera dipukul bomoh,ustaz



TUMPAT – Seorang pengamal perubatan tradisional cedera selepas dipercayai dipukul 4 lelaki yang mendakwa mereka bomoh dan ustaz di sebuah inap desa di Kubang Kerian, Kota Bharu dalam kejadian pada Rabu lalu.

Kejadian pada pukul 11.45 malam itu disyaki berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa yang berusia 39 tahun dengan kumpulan lelaki itu ketika membantu merawat seorang wanita disihir yang tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, kesemua suspek berusia 32 hingga 42 tahun itu ditahan selepas dipercayai memukul mangsa sehingga mengalami lebam di mata kiri selain calar pada bahagian muka akibat dipukul dengan sebatang plastik dan penyangkut baju.

“Berdasarkan siasatan, mangsa datang ke Kelantan untuk berbincang mengenai urusan rawatan tradisional bersama empat suspek dan dua lagi lelaki yang merupakan rakan mereka.

“Empat daripada enam suspek yang dikenali sebagai Tok Singa,Tok Hijau, Wan Selamos dan Idris dipercayai tidak berpuas hati selepas mendakwa mangsa menjalankan kaedah rawatan yang salah untuk merawat seorang wanita di inap desa itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Bulan Kemerdekaan Dan Kibar Jalur Gemilang 2021 di Sekolah Kebangsaan Pak Mandol di sini hari ini.

Menurut Shafien, akibat perselisihan faham itu, empat suspek dipercayai telah memukul mangsa sehingga dia perlu menjalani rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Katanya, sehubungan dengan itu, polis sudah mengambil keterangan semua suspek yang datang secara sukarela ke balai polis untuk membantu siasatan pada Jumaat lalu.

Tambahnya, kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.