Mayat penyelam ditemui bersama balang oksigen

Mayat penyelam lengkap dengan balang oksigen ditemui lemas semalam.



KLANG – Seorang lelaki dipercayai penyelam yang dilaporkan hilang sejak enam hari lalu ditemui lemas semalam kira-kira 8.7 batu nautika barat daya Sungai Besar, Sabak Bernam.

Mayat dikenali Calvin Patrick Lazaroo, 27, ditemui pukul 3 petang oleh nelayan sebelum memaklumkan kepada Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd. Rosli Kassim berkata, pasukan carilamat Maritim Malaysia berserta bot Pasukan Polis Marin bertindak ke lokasi kejadian sebelum berjaya mengesan mangsa dalam keadaan terapung kira-kira 6 petang.

“Mayat ditemui lengkap berpakaian penyelam berserta balang oksigen sebelum dibawa ke Jeti Nelayan Sungai Besar.

“Mayat kemudiannya dihantar ke Hospital Sabak Bernam untuk proses pengecaman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang penyelam bebas dilaporkan hilang kira-kira pukul 10.30 pagi pada 3 Ogos lalu semasa melakukan selaman bagi tujuan mengikat tali pada bot karam bersama tiga rakannya berhampiran Sungai Besar di sini.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.