Timbul persoalan mengapa kes kematian akibat jangkitan Covid-19 meningkat secara drastik sehingga lebih 6,000 kes bulan ini sedangkan tahun lalu pada bulan sama hanya merekodkan 2 kematian. |
KUALA LUMPUR: Timbul persoalan mengapa kes kematian akibat jangkitan Covid-19 meningkat secara drastik sehingga lebih 6,000 kes bulan ini sedangkan tahun lalu pada bulan sama hanya merekodkan dua kematian.
Veteran DAP, Lim Kit Siang berkata, hal itu berlaku di tengah-tengah negara bakal meraihkan Hari Kebangsaan Ke-64 tahun pada 31 Ogos ini.
Jelasnya, semua pihak sudah tidak berdaya mengelakkan bulan yang sepatutnya menjadi detik paling bersejarah namun berubah menjadi situasi paling tragis sejak pandemik melanda negara lebih 20 bulan lalu dengan jumlah kumulatif kes Covid-19 melebihi 1.7 juta kes dan lebih daripada 15,000 kematian.
“Ini belum lagi mengambil kira tahap percubaan bunuh diri dan kes bunuh diri yang tinggi yang belum pernah terjadi sebelum ini di negara ini ekoran kesan penularan wabak Covid-19.
“Ketika ramai orang memperkata tentang isu percubaan membunuh diri, tuduhan jenayah tetap menjadi pilihan pihak berkuasa terhadap mereka yang cuba membunuh diri.
Veteran DAP, Lim Kit Siang |
Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, memetik aktivis masyarakat, Dr. Mohamed Rafick Khan sebagai berkata, dua peratus kes Covid-19 di tahap 3, 4 dan 5 tetap meningkat dan kematian akibat wabak terus kritikal di sebalik pelaksanaan program vaksinasi.
Katanya lagi, peralihan dari fasa ke fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) tidak bermakna keadaan semakin baik kerana jika vaksinasi Covid-19 berkesan, jumlah kematian dan pesakit Covid-19 tahap 5 berkurang.
“Taburan dan statistik angka kematian yang semakin teruk bukan disebabkan vaksinasi tetapi oleh kapasiti dan keupayaan yang lemah di hospital. Ini juga berkaitan keletihan kakitangan perubatan dan kehilangan motivasi yang serius.
“Kita menghadapi masalah ini kerana pembuat dasar belum memberikan perhatian mencukupi terhadap perkembangan di hospital dan belum mengambil dan melatih kakitangan perubatan yang mencukupi. Mereka bergantung kepada sektor swasta untuk menyediakan perkhidmatan tersebut,” katanya.
Semakan Utusan Online mendapati, kadar kematian bulanan pada Disember tahun lepas berada pada tahap 0.241 dan kekal pada tahap 0.24 sehingga 0.43 hingga April. Manakala pada Mei kadar kematian pada tahap 0.788 peratus diikuti 1.068 pada Julai. – UTUSAN ONLINE