Penemuan mayat wanita berkenaan yang tidak diketahui identitinya itu menggemparkan penduduk di kawasan tersebut yang kemudian datang beramai-ramai merakam gambarnya. |
Seorang wanita ditemui meninggal dunia dalam keadaan yang amat tragis selepas dipercayai kantoi ketika mencuri telefon bimbit melalui tingkap di salah sebuah rumah penduduk di Kabupaten Deliserdang, Indonesia.
Wanita itu ditemui oleh penduduk dalam keadaan sudah tidak bernyawa, tersangkut pada kawat berduri yang dipasang di tembok pagar sebuah rumah kosong pada Sabtu, 14 Ogos 2021.
Wanita itu dipercayai meninggal dunia kerana panik ketika melarikan diri setelah perbuatan mereka yang cuba mencuri telefon bimbit diketahui pemilik rumah. Leher dan pakaiannya masih tersangkut pada kawat duri di tembok tersebut.
Penemuan mayat wanita berkenaan yang tidak diketahui identitinya itu menggemparkan penduduk di kawasan tersebut yang kemudian datang beramai-ramai merakam gambarnya.
Menurut sumber, suspek tinggal tidak jauh dari lokasi kejadian dan sebelum kejadian, suspek dipercayai bersama dengan seorang lagi rakannya untuk melakukan aktiviti tidak bertanggungjawab itu pada malam Jumaat, 13 Ogos 2021.
Sebaik saja perbuatan mereka diketahui oleh pemilik rumah, kedua-dua suspek lari lintang pukang. Rakannya berjaya melarikan diri, tetapi wanita itu tersangkut pada kawat berduri.
"Suspek pertama berjaya melarikan diri, manakala suspek kedua pula tersangkut pada kawat pagar sebuah rumah kosong tanpa dibantu oleh sesiapa. Masa itu juga hujan lebat dan mungkin dia menjerit tetapi tidak dapat didengari oleh sesiapa, lalu meninggal dunia di tempat kejadian," kata sumber.
Mayat wanita itu ditemui oleh penduduk pada pagi Sabtu dan terus melaporkan kepada pihak polis.
Sumber: Agensi