AS pulangkan lagi RM1.9 bilion dana 1MDB kepada Malaysia

PETALING JAYA: Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat telah memulangkan kepada Malaysia sejumlah RM1.9 bilion (USD452 juta) lagi dana yang diseleweng dalam skandal rasuah 1MDB.



DoJ dalam kenyataan berkata, lebih RM5 bilion (USD1.2 bilion) telah dipulangkan setakat ini.

Katanya, aduan perlucuthakan sivil mendakwa lebih daripada RM18 bilion dana milik 1MDB telah diseleweng oleh pegawai atasan dan lain-lain, termasuk ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Terdahulu dilaporkan bahawa dana tersebut diubah melalui institusi-institusi kewangan utama di seluruh dunia, termasuk di AS, Switzerland, Singapura dan Luxembourg.

Sejak 2016, DoJ telah mengemukakan 41 tindakan perlucuthakan sivil bawah Seksyen Pengubahan Wang Haram dan Pengembalian Aset (MLARS) yang mengakibatkan penyitaan lebih RM7 bilion aset dicuri.

Katanya, ia akan meneruskan tindakan litigasi terhadap aset tambahan yang dikatakan mempunyai kaitan dengan skandal itu.


Menurut DoJ, lebih daripada RM18 bilion dana milik 1MDB dipercayai diseleweng oleh pegawai atasan dan lain-lain, termasuk Jho Low. (Gambar Reuters)
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Mei berkata, Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset menerima sejumlah RM16.05 bilion dana 1MDB yang disita dan dihantar balik pada ketika itu.

Menurut kementeriannya, sebarang baki dalam akaun amanah berkenaan akan digunakan untuk melunaskan hutang 1MDB dan bekas anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd.

Setakat ini, kerajaan telah melunaskan RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.

Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.