PGA Briged Sabah rampas rokok seludup bernilai RM3.2 juta di Lahad Datu

Kickbola.net Rokok seludup yang dirampas PGA Briged Sabah di sebuah gudang di Batu 3 1/2, Jalan Segama Lama, Lahad Datu.



Lahad Datu: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah, berjaya merampas rokok dipercayai diseludup dianggarkan bernilai lebih RM3.2 juta dalam serbuan di sebuah gudang di Batu 3 1/2, Jalan Segama Lama, di sini, semalam.

Dalam serbuan Op Kontraban kira-kira jam 10 malam itu, semua rokok jenis kretek dan putih berkenaan didapati disembunyikan di dalam gudang yang berkunci dan berpagar.

Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, operasi dijalankan hasil kerjasama Batalion (BN)17 PGA Lahad Datu dan BN 14PGA Tawau.

Katanya, ketika diserbu, seorang lelaki warga Indonesia berusia 56 tahun yang dipercayai penjaga gudang berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.


ROKOK seludup bernilai lebih RM3 juta dirampas.


"Sebaik berjaya masuk ke dalam gudang berkenaan, pasukan serbuan menemui 2.36 juta batang rokok putih dan 1.7 juta batang rokok jenis kretek.

"Antara jenama rokok yang dirampas adalah Astro, Premium, Asatu, Tex dan Surya yang dipercayai dibawa masuk tanpa kelulusan dan cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM)," katanya ketika dihubungi, hari ini.


Mohd Abduh berkata, suspek dan semua rokok yang dirampas kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, suspek turut diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dimasukkan ke lokap Balai Polis Lahad Datu untuk membantu siasatan lanjut.

"Jumlah keseluruhan rokok yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,207,952 berdasarkan harga pasaran semasa.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.