Berpura-pura mahu menyewa tempat penginapan sebelum bertindak menyamun. Itu modus operandi digunakan sekumpulan penjenayah untuk menyamun pemilik homestay di negeri ini.
Dalam kejadian terbaru di sini Isnin lalu, seorang pemilik homestay bukan sahaja diikat dan dikurung dalam sebuah rumah, malah wang tunai bernilai lebih RM1,500 dan tiga telefon bimbit miliknya dilarikan tiga lelaki berkenaan.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, ketiga-tiga lelaki itu terdahalu menghubungi mangsa yang juga seorang suri rumah berusia 29 tahun kira-kira 11.30 pagi sebelum mereka bersetuju bertemu tiga jam kemudian di homestay berkenaan.
“Mangsa yang datang mahu menyerahkan kunci dan menunjukkan rumah berkenaan kemudian diikat oleh ketiga-tiga suspek lalu dikurung di dalam sebuah bilik di tingkat dua rumah penginapan itu.
“Suspek bertindak menggeledah rumah berkenaan turut merampas wang tunai RM400, selain S$800 dan tiga telefon bimbit milik mangsa selain memaksa mangsa memberitahu nombor pin dua kad bank,” katanya.
Menurutnya, suspek bagaimanapun melepaskan mangsa kira-kira 4.30 petang selepas berjaya mengeluarkan wang daripada ATM dan turut mengugut akan mencederakan pengadu sekiranya melaporkan kepada polis.
“Bertindak atas maklumat orang awam, seorang lelaki berusia 19 tahun juga salah seorang suspek berjaya ditahan ketika sedang bermain futsal kira-kira 6 jam di Taman Merdeka, Batu Berendam pada hari sama.
“Soal siasat suspek mengaku dua lagi lelaki yang terlibat adalah abang kandungnya berusia 23 dan 25 tahun dipercayai kini bersembunyi dan melarikan diri selepas menyedari adik mereka ditahan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, semalam.
Raja Shahrom berkata, hasil tangkapan salah seorang suspek itu, polis kemudian membuat pemeriksaan di sebuah rumah di Alor Gajah dan menemui semua telefon bimbit milik mangsa dan beberapa kad pengenalan lain dipercayai kepunyaan mangsa kegiatan jenayah mereka.
“Kita merampas tujuh telefon bimbit termasuk empat milik suspek serta sebuah kereta jenis Perodua Viva yang dipercayai digunakan ketika melakukan samun terhadap mangsa.
“Siasatan terhadap kad pengenalan lain yang ditemui didapati salah satunya bersangkut kes samun yang dilaporkan di Nusajaya, Johor pada Disember lalu,” katanya.
Beliau berkata, polis kini melancarkan Ops Beradik bagi mengesan dua suspek yang dipercayai masih berada dalam negeri ini atau di Johor.
“Suspek pertama kini direman tujuh hari sejak semalam (kelmarin),” katanya.
Beliau berkata, polis sedang mencari Dennil dan R James Peter bagi membantu siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenali kedua-dua lelaki itu untuk tampil ke balai berhampiran.