'Anak Malaysia' Nick Kyrgios menentang Rafael Nadal

Kyrgios bertemu juara grand slam sebanyak 14 kali, Nadal pada perlawanan yang menjadi impiannya selama ini sejak kali pertama memegang raket.
'Anak Malaysia' lawan Nadal

Melbourne: Wanita berasal dari Malaysia, Norlaila iaitu ibu kepada bintang tenis remaja Australia, Nick Kyrgios, menonton dengan penuh debar di rumahnya di Canberra apabila anaknya bertemu jaguh nombor satu dunia, Rafael Nadal dalam pusingan kumpulan 16 terakhir pada Terbuka Wimbledon di London.

P emain berusia 19 tahun itu yakin dia berupaya mencipta kejutan paling besar di gelanggang All England Club pada perlawanan paling bermakna dalam hidupnya, hari ini, lapor Australian Associated Press (AAP).

Norlaila juga dikenali sebagai Nill, dilahirkan di Kuala Lumpur dan bertugas sebagai jurutera komputer di Canberra sementara suaminya George adalah seorang pelukis. George berada bersama Nick di Wimbledon.

Kyrgios, pemain wildcard dan paling muda, mempamerkan kebangkitan luar biasa selepas menumbangkan pemain Perancis, Richard Gasquet untuk menundukkan pilihan ke-68 dari Czech, Jiri Vesely 3-6, 6-3, 7-5, 6-2 pada perlawanan pusingan ketiga yang terganggu akibat hujan pada Sabtu.


Jumpa Nadal

Kyrgios bertemu juara grand slam sebanyak 14 kali, Nadal pada perlawanan yang menjadi impiannya selama ini sejak kali pertama memegang raket.

“Sudah tentu 14 grand slam yang memisahkan kami, jadi ia dijangka perlawanan yang hebat," Kyrgios dipetik oleh AAP sebagai berkata.

"Saya amat terharu bercampur kegembiraan. Bermain di pusingan keempat pada grand slam dan peluang bertemu Rafal di Centre Court, adalah kesempatan yang saya tidak akan lepaskan.

"Saya tidak menyangka akan menentang Nadal pada pusingan keempat Wimbledon dalam usia baru mencecah 19 tahun. Saya sangka ia akan mengambil masa bertahun-tahun dan bekerja keras bertahun-tahun untuk memperoleh peluang itu,”.

Tiada tekanan

Nadal, juara Wimbledon pada tahun 2008 dan 2010, layak ke pusingan keempat buat kali pertama sejak 2011 selepas menewaskan pemain Kazakhstan Mikhail Kukushkin pada perlawanan yang berlarutan hingga empat set.

Ketika ditanya sama ada beliau percaya mampu membuat kejutan, Kyrgios menjawab dengan penuh yakin: "Ya".

Nadal sebelum itu menundukkan Kukushkin 6-7 (7-4), 6-1, 6-1, 6-1 dan beliau percaya Kyrgios adalah lawan yang bijak mengatur strategi apabila berada di gelanggang.

"Pemain muda adalah amat berbahaya kerana mereka biasanya mempunyai sesuatu yang tersembunyi," kata Nadal. "Mereka mampu bertarung tanpa menghadapi tekanan. Mereka pemain yang segar." - BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.