Selain bunyi mercun dan cahaya pelita menerangi sambutan hari raya Aidilfitri di seluruh Malaysia seperti tahun tahun sebelum ini, nampaknya kemeriahan akan lebih terasa apabila pihak Agensi Angkasa Negara (Angkasa) mengumumkan akan terjadi fenomena hujan meteor.
Fenomena pancuran hujan Meteor Delta Aquarids daripada buruj Aquarius dijangka dapat dilihat di ruang angkasa Malaysia pada 28 dan 29 Julai ini sekitar pukul 10 malam sehingga subuh.
Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, sebanyak 20 juraian meteor dijangka dapat disaksikan dalam tempoh satu jam bagi kedua-dua malam tersebut.
Agensi itu berkata, peluang menyaksikan meteor berkenaan adalah tinggi kerana pada ketika itu langit gelap berikutan bulan masih berada dalam fasa bulan baharu.