TENOM, 8 Jun 2014 – Sebuah ‘Stesen Janakuasa mini’ di Pencawamg Masuk Utama (PMU) Tenom telahpun siap dipasang dan dioperasikan oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi menjana dan seterusnya menyalurkan bekalan elektrik kepada pengguna di Tenom.
Stesen Janakuasa Mini dengan kapasiti terpasang 3.4 MegaWatt (MW) adalah tambahan kepada 10 janakuasa bergerak (mobile gensets) berkapasiti 4.3MW yang telah dioperasi di beberapa pencawang elektrik (substation) sekitar daerah Tenom sejak 3hb Jun 2014 (Selasa) yang lalu.
Sebanyak empat (4) buah set janakuasa jenis kanopi (canopy gensets) telah dipindahkan dari Stesen Janakuasa Melawa milik SESB di Sepanggar untuk tujuan ini. Pembinaan 'Stesen Janakuasa Mini' ini hanya mengambil masa 4 1/2 hari untuk disiapkan atas usaha gigih pekerja SESB yang bertungkus lumus secara berterusan membina stesen ini.
Walau bagaimanapun, catuan bekalan elektrik secara bergilir hanya akan dilaksanakan pada waktu beban puncak (peak demand) sekiranya permintaan tenaga elektrik melebihi kapasiti penjanaan sedia ada termasuk 'reserve margin' yang dipasang di Tenom.
Selain itu, kerja-kerja pembaikan kerosakan alatubah (transformer) akibat kebakaran tempoh hari masih rancak dijalankan dan dijangka akan dapat disiapkan pada lewat malam hari Ahad (8hb Jun 2014) ini.
Bagi pengguna-pengguna di Tenom yang masih tiada bekalan elektrik akibat kejadian ini adalah digalakkan untuk menghubungi talian Hotline SESB di 15454 dan 088-515000.