Gempar jumpa ikan mulut buaya Abdul Zabar menunjukkan ikan jenis Alligator Gar yang terperangkap di dalam bubunya.
Gempar jumpa ikan mulut buaya
Penduduk sekitar Bukit Merah di sini gempar dengan penemuan seekor ikan pelik bermulut buaya oleh seorang nelayan sungai setelah terperangkap di dalam bubu dawai miliknya.
Dalam kejadian jam 9.00 pagi di Batu 39, Jalan Keretapi Bukit Merah, nelayan itu, Abu Zabar Husin,75, berkata, dia terkejut dengan penemuan ikan itu kerana spesies ikan itu sangat pelik dan mengakui baru pertama kali melihatnya.
Menurutnya, malam sebelum kejadian berlaku, dia telah memasang bubu di sebuah parit berhampiran rumahnya dan pergi semua ke lokasi itu pada sebelah pagi untuk melihat hasil tangkapan ikan.
“Ketika hendak mengangkat bubu, saya melihat keadaannya bergoncang kuat seolah-olah telah menahan banyak ikan.
“Saya mula membayangkan hasil tangkapan lumayan, bagaimanapun saya terkejut mendapati seekor ikan bermulut buaya terperangkap di dalamnya,” katanya ketika ditemui media, semalam.
Abu Zabar berkata, bubu ikan yang ditangkapnya hampir terlepas dari dakapan setelah dia menyangka haiwan yang terperangkap di dalamnya adalah anak buaya.
“Bagaimanapun, ikan itu mati tidak lama selepas itu setelah keadaannya terlalu lemah.
“Berita penemuan ikan itu mula tersebar dalam kalangan penduduk kampung dan rumah saya seakan-akan pesta apabila dikunjungi orang ramai tidak henti-henti sehingga kini,” katanya.
Abu Zabar berkata, seorang pegawai dari Jabatan Perikanan yang mengunjungi rumahnya mengesahkan bahawa ikan yang ditemui adalah dari spesies ‘Alligator Gar’ iaitu spesies ikan dilindungi dan amat jarang ditemui di perairan Malaysia.
“Saya percaya ikan seberat hampir dua kilogram dan sepanjang hampir satu meter itu berkemungkinan sesat berikutan banjir yang berlaku di beberapa buah negeri,” katanya.
Kongsikan artikel ini:
Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date