Header Ads

Up2date Terkini!
recent

Bersejarah! British Airways Adakan Semula Penerbangan Ke Negara Malaysia


British Airways Adakan Semula Penerbangan Ke Malaysia

SEPANG, 28 Mei (Bernama) -- British Airways, syarikat penerbangan negara United Kingdom, mengadakan semula penerbangan dari London ke Kuala Lumpur selepas 14 tahun tidak menyediakan perkhidmatan tersebut dengan penerbangan pertama tiba hari ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Penerbangan harian tanpa henti itu dikendalikan oleh pesawat Boeing 777-200ER dengan empat kabin.



Bercakap pada majlis ketibaan penerbangan sulung itu di KLIA di sini Khamis, Pengurus Besar British Airways bagi Timur Tengah, Afrika dan Asia Pasifik Jamie Cassidy berkata mengadakan kembali penerbangan tersebut adalah tepat pada masanya.

"Malaysia kini antara ekonomi yang paling pesat di Asia, dan negara kesembilan paling tinggi dilawati di dunia. Sudah tiba masanya, kami amat gembira untuk kembali ke Kuala Lumpur dan berminat membantu Malaysia meneruskan kejayaannya," katanya.


PESAWAT British Airways Boeing BA33 selamat tiba di KLIA di sini hari ini dari Heathrow, London.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd Datuk Badlisham Ghazali.

British Airways menawarkan pilihan empat kabin kepada pelanggan termasuk Kelas Pertama baharu syarikat penerbangan itu, Kelas Perniagan yang memenangi anugerah Club World, ekonomi premium World Traveller Plus dan kelas ekonomi World Traveller.



Pesawat British Airways Boeing BA33 selamat tiba di KLIA dari Heathrow, London selepas syarikat penerbangan Britain itu menyambung semula penerbangan ke Malaysia setelah menggantung laluannya ke negara ini pada tahun 2001.

Dalam mengalu-alukan syarikat penerbangan tersebut, Badlisham berkata hubungan sejarah antara kedua-dua negara akan diperkukuhkan dengan mengadakan semula perkhidmatan tersebut.

"Sebagai destinasi terbaharu dalam rangkaian global British Airways, saya yakin pengunjung dari United Kingdom dan seluruh Eropah akan menghargai banyak peluang untuk perniagaan dan pelancongan yang ditawarkan oleh Malaysia," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Powered by Blogger.