Kuala Lumpur pula Dilanda Banjir (Foto Gambar Penuh)

Kuala Lumpur Dilanda Banjir



Kuala Lumpur pula Dilanda Banjir (Foto Gambar Penuh)

Beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dilaporkan telah dilanda banjir ekoran dari hujan lebat yang berterusan sejak dari jam 6 petang semalam sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

A
ntara kawasan yang terjejas ialah, Jalan Setapak, Jalan Genting Klang, Jalan Tun Ismail dan Jalan Pekeliling.

Laporan awal (tidak rasmi) mendakwa banjir yang berlaku di ibu kota itu disebabkan oleh pelepasan air di Empangan Batu yang terletak di Ulu Yam, berikutan paras air yang naik secara mendadak.


Netizen yang menyebarkan kenyataan itu yang kononnya dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri Selangor.


Namn, dakwaan itu dinafikan oleh Pengarah JPJ Selangor dan pihak LUAS Selangor dan meminta orang ramai tidak percaya serta berhenti menyebarkan berita palsu.

Selepas 10 tahun, Bandar Kota Bahru dilanda banjir

KOTA BHARU: Banjir besar yang melanda Kelantan sejak beberapa hari lalu, mula menenggelami beberapa kawasan di bandar Kota Bharu.

Kejadian ini adalah yang pertama di bandar ini sejak 10 tahun lalu.-Berita Harian


Banjir di Petronas kuala lipis pahang semakin buruk

KUALA LIPIS - Keadaan banjir di Lipis semakin buruk dengan 1,916, orang membabitkan 412 keluarga dipindahkan ke 25 buah pusat pemindahan di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) yang terjejas banjir.

Keadaan banjir di beberapa kawasan di Lipis dinaiki air antaranya melibatkan kawasan Padang Tengku dan bandar Lipis, semalam. Keadaan banjir di beberapa kawasan di Lipis dinaiki air antaranya melibatkan kawasan Padang Tengku dan bandar Lipis, semalam

Sehingga jam 3 petang semalam, jumlah terbanyak yang dipindahkan itu adalah di Masjid Kampung Bertang, 350 orang diikuti Sekolah Kebangsaan (SK) Chegar Perah (269), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merapoh (256), SMK Padang Tengku (175), Dewan Serbaguna

Kuala Medang (109), SK Batu Yon (109), Balai Raya Jeram Bungor (89), Masjid Kuala Telang (81), SK Kerambit (77), SK Mela (74), Surau Kampung Dusun (44) dan Dewan Agropolitan Tanjung Gahai (43).

Selain itu, mangsa di Dewan Orang Ramai Aur Gading adalah seramai 39 orang, SK Keledek (33), Balairaya Lentang (31), SK Limau Purut (27), SK Teluk Gunung (24), SK Kuala Lanar (20), rumah saudara Kampung Dusun (16), rumah saudara Bukit Kota (11), Balairaya
Kampung Kuala Kechau (10), SJKC Chong Hwa (7), Balairaya Jeram Landak (89), SK Clifford (4) dan Masjid Tanjung Bulu (3).

Masjid Seberang Jelai yang sebelum ini menempatkan 25 mangsa terpaksa ditutup ekoran air banjir melimpahi kawasan berkenaan dan kesemua mangsa telah ditempatkan di SMK Padang Tengku.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati paras air Sungai Jelai di bandar Kuala Lipis semakin tinggi dan kian menghampiri jalan raya.

Peniaga di sekitar Jalan Jelai juga telah bertindak segera memindah keluar barang dari premis perniagaan mereka kerana dibimbangi air bah masuk ke dalam kedai sekaligus merosakan barangan.

Selain itu, beberapa batang jalan di sekitar bandar Lipis termasuk jalan berhadapan Dataran Lipis, Institut Pertanian dan Pejabat Pertanian telah digenangi air dan ditutup kepada semua kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana, Datuk Ahmad Daud berkata, bekalan makanan dan peralatan untuk mangsa banjir yang kian bertambah di pusat penempatan juga telah diedar dan dijamin mencukupi.

“Buat masa sekarang kita menghantar bantuan kepada mangsa banjir melalui bot di kawasan yang terputus hubungan.

“Sekiranya keadaan semakin meruncing kita tidak menolak kemungkinan untuk meminta khidmat  helikopter bagi menghantar bantuan makanan terutama di kawasan pedalaman seperti Kampung Chegar Perah,”katanya.

Pakar bius, pesakit Hospital Kuala Krai terperangkap akibat air banjir
Hospital Kuala Krai: Doktor Terpaksa Bius Bayi Untuk Selamatkan Nyawa kerana Tiada Elektrik

Seorang pakar bius terpaksa memberi rawatan "intubation" (bius melalui hidung) kepada seorang bayi dalam gelap untuk menyelamatkan nyawanya selepas generator di Hospital Kuala Krai kehabisan minyak hari ini.

Ini merupakan pengalaman yang menakutkan seperti dinyatakan melalui mesej WhatsApp oleh Dr Adibah Abdullah, seorang pegawai perubatan di hospital itu.

Hospital itu beroperasi dengan menggunakan generator selepas bekalan elektrik terputus kira-kira 5 petang semalam, akibat peras air meningkat dengan cepat dalam apa yang disifatkan sebagai banjir terburuk dalam sejarah Kelantan.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan dengan tepat bila generator telah kehabisan diesel.

Dalam rentetan mesej WhatsApp untuk memberi maklumat terkini kepada seorang rakan mengenai keadaan yang semakin teruk di hospital, Dr Adibah menjelaskan bahawa pesakit di unit rawatan rapi (ICU) dan unit penjagaan kritikal (CCU)  bernafas menggunakan mesin yang berfungsi melalui kuasa bateri.

"Kalau bekalan tak pulih, kami akan bergilir-gilir membuat manual bagging ... tapi sampai bila?" beliau menulis.

Beliau berkata bekalan diesel untuk generator dijanjikan dihantar pada 8.30 malam oleh helikopter. Bagaimanapun, masalahnya ialah hospital itu berada dalam kegelapan sepenuhnya.

"Kami tidak mempunyai suar tetapi kami memerlukan lampu untuk menunjukkan kepada mereka di mana kami berada.

"Kuala Krai telah bertukar menjadi sungai yang besar, dan hospital kami adalah satu daripada beberapa pulau yang tidak bersinar dalam kegelapan," beliau dalam catatannya.

Dalam satu lagi detik yang menyayat hati, Dr Adibah berkata helikopter telah tiba sebelumnya pada sebelah malam tetapi tidak dapat mendarat kerana ketiadaan ruang.

"Kipasnya berputar begitu kuat sehingga air terpercik dari kawasan yang digenangi air, serpihan berterbangan, dan mereka berkata bumbung akan runtuh  jika helikopter menghampiri lebih dekat.

Satu-satunya cara untuk menyelamatkan pesakit ialah dengan mengangkat mereka ke atas, seperti dalam filem. Dari bot, atau dari kawasan yang berhampiran dengan pinggir air.

"Tetapi kita bercakap mengenai pesakit yang sakit di sini. Yang bernafas dengan mesin, bayi-bayi baru lahir, orang tua patah tulang," beliau menulis.

Beliau berkata helikopter akhirnya terpaksa berlepas tanpa memindahkan mana-mana-mana pesakit.

"Helikopter berlegar-legar ... dan tidak menghantar apa-apa. Kenderaan amfibia milik bomba datang.

Kemudian ia pergi semula. Matron mengumumkan "tak jadi pindah, sila pulang ke wad masing-masing.

"Dan kerana lif tidak berfungsi (menggunakan lif dalam keadaan elektrik on-off begini adalah tindakan amat bahaya), kebanyakan pesakit mengheret badan menaiki tangga," katanya.

Dr Adibah berkata pesakit berasa kecewa apabila mereka melihat kenderaan amfibia itu berlepas dan tidak dapat sampai kepada mereka.



Beliau berkata satu-satunya bantuan perubatan yang tiba sejak krisis itu bermula ialah seorang doktor tentera, yang tiba di hospital beberapa jam lalu.-Astro Awani

Bomba Gadai Nyawa, Mangsa Terpaksa Masak Air Lumpur Untuk Minum

Kota Bharu: Kira-kira 500 mangsa banjir yang terperangkap di SMK Manek Urai sejak kelmarin kini dalam keadaan terkawal selepas empat anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di sana, 10 malam tadi.

Pengarah JBPM Kelantan Azmi Osman berkata, empat anggota itu mengambil masa hampir lapan jam untuk tiba di pusat pemindahan sementara itu berikutan menempuh beberapa halangan termasuk arus deras.

"Mereka menggunakan bot beroda dan bertolak dari Kota Bharu pada 2 petang semalam.
"Memang agak sukar untuk ke sana disebabkan ada kawasan yang tidak berair dan ada pula kawasan yang tenggelam, perjalanan mereka tersekat-sekat.

Keadaan banjir di Kelantan
"Tetapi akhirnya mereka berjaya dan kini masih berada bersama mangsa banjir di sana untuk membantu terutama beri kaunseling dan sokongan moral yang sangat diperlukan ketika ini," katanya ketika dihubungi, di sini.

Kisah pilu mengenai mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan yang dianggarkan 500 orang menjadi perhatian sejak semalam dan dilaporkan Harian Metro.

Ini berikutan gambar 'mengerikan' air banjir menenggelamkan bangunan di situ sehingga tingkat tiga menyebabkan mereka berlindung di tingkat empat, malah tersebar di laman sosial rintihan mereka.


Azmi berkata, mengikut laporan diterimanya juga, mangsa tidak lagi ketakutan seperti awal kejadian sebaliknya mereka lebih rasa selamat apabila anggota keselamatan tiba.

"Laporan diterima juga dapati trend air di situ menunjukkan penurunan sejak pagi tadi.

"Kemungkinan besar mereka tidak berpindah ke tempat lain," katanya.

Beliau turut menasihati mangsa lain yang berada di kawasan tanah tinggi mahupun bukit supaya bertahan di situ kerana ia tempat paling selamat ketika ini selepas kebanyakan lokasi tenggelam.

Sementara itu, seorang mangsa banjir di situ yang dihubungi Harian Metro memaklumkan, mereka terpaksa memasak air lumpur untuk minum menggunakan dapur gas yang sempat dibawa dan kelaparan kerana tiada bekalan makanan sejak dua hari lalu.

"Anak kecil menangis, orang tua ada yang sakit, malah kami tidur bergelap kerana terputus bekalan elektrik," kata Mohamad Daniel Mohamad, 26,


Menurut Mohamad Daniel , anggota bomba sudah tiba di situ kira-kira 10 malam tadi menggunakan bot.

"Mereka sedang berusaha menyelamatkan kami," katanya. - Harian Metro




Keadaan banjir di Kuala Kangsar.
Jumlah Mangsa Banjir Hampiri 100,000 Orang

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di empat negeri terutamanya di Kelantan, Pahang dan Perak terus meningkat pada petang ini dengan jumlah keseluruhan 97,025 orang.

Menurut portal banjir kerajaan negeri, ia membabitkan mangsa banjir di sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat.
Bacaan paras air di Sungai Kelantan di Tangga Krai, Jambatan Guillemard serta Tambatan Diraja dan Sungai Golok di Rantau Panjang terus naik.

Keadaan cuaca pada sebelah petang adalah mendung.

Sementara itu, sebanyak 157 pesakit di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di Kota Baharu, dipindahkan sebelum air mula masuk di sesetengah bangunan di hospital berkenaan awal hari ini.

Bagaimanapun, di TERENGGANU, jumlah mangsa banjir menurun sedikit di negeri ini apabila hampir 1,500 orang mengambil peluang pulang ke rumah masing-masing setelah air di kawasan kediaman mereka beransur surut, berikutan cuaca kembali cerah di beberapa kawasan, petang ini.

Dengan perkembangan itu, jumlah mangsa banjir kini 28,561 orang daripada 7,001 keluarga berbanding 29,057 orang pada tengah hari tadi, demikian menurut statistik portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Kemaman masih lagi menyaksikan mangsa paling ramai iaitu 19,405 orang disusuli daerah Dungun 6,285 orang, Kuala Terengganu 1,612, Hulu Terengganu 654, Besut 490 dan Marang 115 orang.

Pusat operasi keseluruhan 116 iaitu Besut (lima), Dungun (33), Hulu Terengganu (11), Kemaman (53), Kuala Terengganu (12) dan Marang (dua).

Di PAHANG, keadaan banjir belum menunjukkan petanda untuk pulih dengan jumlah pemindahan  mangsa terus meningkat petang ini kepada 28,578 orang daripada 7,244 keluarga berbanding 24,316 orang daripada 6,398 keluarga di lapan daerah yang terlibat tengah hari tadi.

Menurut laporan Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, kesemua daerah menunjukkan peningkatan mangsa banjir dengan jumlah mangsa paling banyak di daerah Kuantan iaitu 17,085 orang daripada 4,674 keluarga di 72 pusat pemindahan.

Di Jerantut, 3,926 mangsa ditempatkan di 41 pusat pemindahan diikuti Maran (2,904/20 pusat), Lipis (2,420/30 pusat), Pekan (1,067/21 pusat), Temerloh (736/lima pusat), Rompin (297/tujuh pusat) dan Bera (143/enam pusat).

Laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia menunjukkan paras air di lapan batang sungai utama di Pahang melebihi paras bahaya.

Di PERAK, jumlah keseluruhan mangsa ialah 5,083 orang daripada 1,246 keluarga berbanding 4,335 orang (1,079 keluarga) pagi tadi, di kesemua 46 pusat pemindahan.

Menurut jurucakap MKN Perak, mangsa yang terjejas di daerah Perak Tengah semakin ramai apabila 1,627 orang dipindahkan petang ini berbanding 953 orang di sebelah pagi.

Dua pusat pemindahan baharu turut dibuka di kawasan Lambor menjadikan kesemua lapan pusat dibuka setakat petang ini.

Kuala Kangsar yang meliputi kawasan Sungai Siput masih mencatat jumlah  bilangan tertinggi mangsa banjir dengan 2,842 orang daripada 665 keluarga dan 25 pusat pemindahan dibuka.

Di PERLIS, jumlah terkini mangsa banjir meningkat seorang kepada 279 orang berbanding 12 tengah hari tadi dan kesemua mangsa ditempatkan di lima pusat pemindahan iaitu MRSM Beseri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi, Dewan orang ramai Padang Malau, Dewan Beseri Dalam dan Dewan Seri Pilihan.

Di KEDAH, jumlah mangsa yang dipindahkan tidak berubah iaitu sekurang-kurangnya 51 orang di beberapa kawasan di negeri itu terutama di daerah Padang Terap. - Astro Awani

Keadaan banjir di Kuala Kangsar.
Banjir Semakin Serius, Hampir 60,000 Mangsa Dipindah

Keadaan banjir bertambah serius menyebabkan 58,705 penduduk di Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Perlis dan Sabah terpaksa berpindah.

Kelantan mencatat jumlah mangsa banjir paling tinggi melibatkan 24,765 orang, diikuti Terengganu (21,606), Pahang (10,825), Perak (1,030), Sabah (336) dan Perlis (143).

Di KELANTAN jumlah mangsa meningkat kepada 3,164 orang sebelah pagi berbanding 21,601 orang malam tadi.

Sebanyak 18 pusat pemindahan baharu dibuka kepada 96 buah semalam.

Peningkatan jumlah mangsa melibatkan sembilan jajahan iaitu Gua Musang, Jeli, Kota Baharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Kota Baharu.

Jumlah mangsa tertinggi dicatat di Pasir Mas iaitu 8,754 orang, diikuti Gua Musang (5,259) dan Kuala Krai (4,608).

Sebanyak 23 laluan turut ditutup yang 17 daripadanya laluan ditutup kepada semua lalu lintas manakala enam ditutup kepada kenderaan ringan.

Di TERENGGANU, 8,977 lagi penduduk terpaksa dipindahkan dengan Kemaman merupakan daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa mencecah 12,699 orang.

Punca utama mangsa terpaksa berpindah adalah disebabkan fenomena air pasang terutama di kawasan pantai, demikian menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.

Setakat pukul 9 pagi, Dungun mencatat jumlah mangsa 4,591 orang, Hulu Terengganu (685), Kuala Terengganu (3,086), Besut (426), Marang (11) dan Setiu (8) di keseluruhan 107 pusat pemindahan.

Paras air di beberapa batang sungai utama di Terengganu dilapor melepasi tahap bahaya antaranya Sungai Dungun di Jambatan Jerangau setinggi 14.21 meter (bahaya 12.50 meter), di Kuala Jengai 26.33 meter (bahaya 21 meter) dan Pasir Raja 38.62 meter (bahaya 37.50  meter).

Di PAHANG, 2,768 keluarga di lapan daerah terpaksa dipindahkan pagi ini menjadikan keseluruhan jumlah mangsa di negeri ini 10,825 orang berbanding 6,286 malam tadi.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Daerah Kuantan masih mencatat jumlah pemindahan mangsa paling tinggi iaitu 6,231 orang diikuti Maran (2,542)

Katanya beberapa laluan utama ditutup kepada semua kenderaan antaranya Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan-Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), Jalan Jerantut-Lipis, Jerantut-Kuala Tahan dan Kilometer 42 Jalan Kuantan-Segamat.

Di PERAK, daerah Hulu Perak dan Kuala Kangsar antara yang terjejas teruk menyebabkan 1,030 penduduk daripada 252 keluarga ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Majlis Keselamat Negara (MKN) Negeri Perak, jumlah mangsa di Kuala Kangsar meningkat kepada 823 orang berbanding 142 orang malam tadi.

Bagaimanapun katanya, pusat pemindahan di Dewan Orang Ramai Kampung Tasek sudah ditutup dan kesemua 23 mangsa dari Kampung Tasek Hulu Seberang telah dibenarkan pulang.

Sementara itu Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Azizul Aswad Asaris mengesahkan laluan Timur Barat dari arah Gerik ke Jeli masih ditutup bagi semua kenderaan ekoran kejadian tanah runtuh di Kilometer 63, berhampiran Hentian Rehat Titiwangsa malam tadi.

Di SABAH, jumlah mangsa di Beaufort meningkat kepada 336 orang berbanding 268 orang malam tadi dengan banjir yang melanda beberapa kampung di Tenom kembali pulih.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Beaufort berkata kesemua mangsa di Beaufort yang melibatkan 128 keluarga dari sembilan buah kampung ditempatkan di Dewan Masyarakat Baru.

Jurucakap Bilik Gerakan Daerah Tenom berkata kesemua mangsa di daerah ini dijangka dibenarkan pulang pagi ini.

Di PERLIS, 143 penduduk antaranya dari kawasan Beseri, Padang Melangit dan Tasoh telah dipindahkan sehingga pukul 7.30 pagi tadi, berbanding 104 mangsa malam tadi.

Menurut Sistem Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, paras air di Empangan Timah Tasoh kini mencatat bacaan 29.78 meter, melebihi paras bahaya 29.60 meter. - Astro Awani

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.