Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS ucap tahniah pasukan Mercedes AMG juarai gelaran F1


CEO PETRONAS ucap tahniah pasukan Mercedes AMG juarai gelaran F1

Kejayaan pasukan Formula Satu (F1) Mercedes AMG PETRONAS menjuarai kategori pasukan, musim ini membuktikan perkongsian pintar antara Petronas dengan pasukan itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada keseluruhan pasukan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas berkata ia adalah detik penting yang turut menandakan kejayaan kerjasama antara PETRONAS dengan pasukan berpangkalan di United Kingdom itu.

"Ia sememangnya mercu tanda bersejarah buat PETRONAS sebagai rakan teknikal dan pengeluar formula kemenangan bagi kejohanan itu musim ini," katanya dalam kenyataaan yang dikeluarkan PETRONAS, hari ini.


Berkongsi pandangan Shamsul Azhar ialah Ketua Mercedes-Benz Motorsport, Toto Wolff yang berkata syarikat minyak Malaysia itu memainkan peranan penting dalam kejayaan pasukan itu musim ini.

"Cabaran teknikal bagi 2014 ialah berpusat sekitar menyampaikan prestasi paling berkesan sebaik mungkin. Terima kasih kepada komitmen dan kepakaran rakan kita di Petronas. Kami membangunkan kuasa hibrid dan kereta lumba hibrid paling kompetatif dalam Formula 1 tahun ini, menjana lebih kuasa dan mencapai keberkesanan lebih berbanding pesaing kami," katanya.

"Dengan kata mudah, kami tidak boleh mencapai ini tanpa rakan-rakan kami dan ia merupakan saat membanggakan bagi kesemua kami untuk memperoleh buat pertama kali juara pembina F1 FIA dunia bagi Mercedes-Benz dan Petronas," kata Wolff.

Mercedes AMG Petronas Team memperoleh kejuaraan itu buat pertama kali apabila kedua-dua pemandu mereka, Lewis Hamilton dari Britain dan Nico Rosberg dari Jerman mengungguli dua tangga teratas GP Russia di Sochi pada Ahad.

Pasukan itu memungut 565 mata meninggalkan Red Bull Racing-Renault (342) sementara Williams-Mercedes di tempat ketiga (216) dengan hanya tinggal tiga lagi pusingan.



Hamilton mencatat satu jam 31:50.744 saat sementara Rosberg di tempat kedua tertinggal hanya 13.6 saat sementara pemandu Finland, Valtteri Bottas yang mewakili Williams-Mercedes Team di tempat ketiga dengan 17.4 saat di belakang Hamilton. - BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.