Duit empat mangsa MH370 dalam bank lesap


MH370: Duit empat mangsa dalam bank lesap

Sebanyak RM110,643 milik empat mangsa pesawat MH370, lesap daripada akaun bank mereka, dipercayai dipindahkan dan dikeluarkan oleh seorang kakitangan bank tanpa kebenaran.

Kejadian disedari pada 18 Julai lalu oleh seorang petugas bahagian perkhidmatan pelanggan bank asing itu selepas mengesan beberapa transaksi pengeluaran dan pemindahan secara mencurigakan dari empat akaun itu.

Akaun berkenaan masing-masing milik dua penumpang warga China, Ju Kun dan Tian Jun Wei; satu akaun penumpang warga Malaysia, Hue Pui Heng dan akaun pramugara warga Malaysia, Tan Size Hian.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Senior Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad, berkata siasatan awal mendapati wang daripada tiga akaun milik tiga mangsa dipindahkan ke akaun milik seorang lagi mangsa secara tanpa kebenaran melalui e-banking atau pemindahan melalui internet.

Keluar melalui mesin ATM

“Pemeriksaan awal bank mendapati semua wang yang dikumpulkan dalam akaun mangsa keempat kemudian dikeluarkan melalui beberapa kios mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di beberapa lokasi cawangan bank berkenaan.

“Selain itu, ada satu pemindahan sebanyak RM35,000 dikesan pada 14 Julai dari akaun sama ke satu akaun bank lain yang didaftarkan atas nama seorang lelaki,” katanya semalam.

Zainuddin berkata pihaknya yang menerima maklumat daripada pihak bank berkenaan kelmarin turut mengesan satu tindakan mencurigakan oleh seorang kakitangan wanita bank berusia 33 tahun kerana meluluskan permohonan pembaharuan kad ATM akaun milik mangsa keempat.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.