Penyerang Piala Dunia Australia Tim Cahill dipancing Sabah FA



TIM CAHILL DIKAITKAN DENGAN SABAH?

WALAUPUN bayangan barisan pemain untuk musim depan belum pun kelihatan, namun, pelbagai spekulasi telah mula tersebar termasuk khabar yang mengatakan penyerang kebangsaan Australia, Tim Cahill sedang ‘dipancing’ untuk menyarung jersi negeri Di Bawah Bayu.



Cerita hangat berkenaan mula timbul selepas sebuah ‘page’ di laman sosial Facebook, HarimauMelaya yang mempunyai hampir 1 juta pengikut menyiarkan satu artikel, mengatakan penyerang yang menjaringkan antara gol tercantik Piala Dunia 2014 di Brazil baru-baru ini, sedang berunding dengan sebuah syarikat yang berpengkalan di Sabah untuk membawa bintang Australia itu ke Sabah.

SANGGUP BELANJA RM3 JUTA

Artikel terbabit turut menyatakan bahawa syarikat berkenaan serius untuk mendapatkan khidmat Cahill dan sanggup melabur RM3 juta untuk membawa pemain berkenaan terbang ke Sabah.

Bagaimanapun, sejauh mana kesahihan khabar berkenaan masih belum dapat dipastikan kerana setakat ini belum ada kenyataan rasmi yang dikeluarkan pihak Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) berhubung perkara itu.

Khabar yang disiarkan itu turut menerima pelbagai respon daripada peminat bola sepak tanah air, khususnya, penyokong Sabah.

Ada di antara mereka yang berharap perkara itu menjadi kenyataan, namun ada juga yang melahirkan rasa kurang setuju dan menganggapnya satu pembaziran.

BEKAS BINTANG ENGLAND JADI JURULATIH?

Sementara itu, baru-baru ini, beberapa akhbar tempatan turut menyiarkan berita mengatakan seorang bekas pemain kebangsaan England berminat untuk menjadi pengendali Sabah musim depan.

Tanpa mendedahkan nama individu berkenaan, akhbar berkenaan turut menyatakan beberapa lagi jurulatih tempatan dari Semenanjung kini berada dalam ‘radar’ SAFA untuk mengambil alih tugas Milomir Seslija yang telah tamat kontraknya pada bulan lalu.

Apapun spekulasi yang tercetus, penulis yakin pihak pengurusan pasukan kini berusaha keras untuk memantapkan lagi skuad Sabah selepas prestasi kurang memberangsangkan musim lalu.

Kini, hampir kesemua pemain musim lalu telah kembali menjalani latihan kendalian pemangku ketua jurulatih, Justin Ganai di Stadium Likas.

Selain barisan pemain skuad utama musim lalu, latihan yang diadakan itu turut disertai beberapa pemain daripada skuad Piala Presiden dan juga pasukan Sabah Cebagoo FC.

Difahamkan, beberapa lagi pemain yang dikenalpasti pada kejohanan Piala Datuk Seri Musa Aman, baru-baru ini, akan turut menyertai latihan berkenaan bagi mengintai peluang diserapkan ke pasukan utama negeri.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.