Header Ads

Up2date Terkini!
recent

MH370 : Penumpang, krew dipercayai mati sesak nafas sebelum hilang di radar


Penumpang, krew MH370 dipercayai mati sesak nafas sebelum hilang

SYDNEY 27 Jun - Semua penumpang dan krew pesawat penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines (MAS) dipercayai meninggal dunia akibat sesak nafas dan pesawat berkenaan dipandu melalui pemanduan automatik sebelum hilang di selatan Lautan Hindi, mengikut laporan terbaharu pihak berkuasa Australia yang disiarkan hari ini.

Dalam laporan setebal 55 muka surat itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Australia menjelaskan, kesimpulan tersebut dicapai selepas pasukan penyiasat membuat perbezaan senario dalam pesawat berbanding dengan insiden-insiden sebelum ini namun tiada bukti baharu dikemukakan berhubung keadaan dalam pesawat tersebut.

Menurut laporan tersebut, kegagalan komunikasi dan corak penerbangan stabil yang menyerupai cara penerbangan pemanduan automatik mengukuhkan lagi dakwaan bahawa semua penumpang dan krew telah meninggal dunia lebih awal, dipercayai akibat sesak nafas.

Selain itu jelasnya, beberapa petunjuk luar biasa yang ditinggalkan sepanjang laluan penerbangan pesawat berkenaan dan tiada campur tangan juruterbang juga diambil kira sebagai bukti mengukuhkan dakwaan tersebut.

“Berdasarkan penilaian tersebut, situasi terakhir yang menunjukkan tiada maklum balas daripada krew atau kejadian kekurangan oksigen dilihat sebagai bukti terbaik untuk menjelaskan senario yang berlaku pada tempoh akhir penerbangan pesawat MH370 ketika menuju ke arah selatan (Lautan Hindi)," jelas lapor itu tanpa menjelaskan punca semua penumpang dan krew sesak nafas.

Bagaimanapun laporan tersebut menjelaskan bahawa kesimpulan berkenaan dibuat bagi mengecilkan skop pencarian pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Australia, Warren Truss mengumumkan lokasi pencarian baharu pesawat MH370 bermula Ogos depan di kawasan yang jauh ke selatan Lautan Hindi, melibatkan kawasan seluas 60,000 kilometer persegi.

Pencarian di kawasan tersebut yang dikenali sebagai ‘arka ketujuh’ (lokasi terakhir pesawat berkomunikasi dengan satelit) akan dimuktamadkan dalam tempoh setahun. - AFP


No comments:

Powered by Blogger.