Badan bebas sahkan lokasi carian pesawat MH370 tepat


MH370: Badan bebas sahkan lokasi carian tepat

Kuala Lumpur: Penganalisis bebas mengesahkan pasukan mencari pesawat MH370 melakukan carian yang betul di selatan Lautan Hindi, selepas seminggu Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) mendedahkan isyarat ‘ping’ yang dikesan lebih 2,000 kilometer (km) dari pantai Perth bukan milik pesawat itu.

Portal berita Mail Online yang berpangkalan di United Kingdom, semalam melaporkan satu zon pencarian baharu di dalam air sehingga 60,000 km kini ditentukan selepas saintis mengkaji semula data asal dan membuat kesimpulan carian masih harus mengikut arka asal yang ditakrifkan oleh syarikat satelit UK, Inmarsat.


Pesawat kehabisan bahan api

Lengkok carian ditakrifkan oleh ‘handshakes’ terakhir atau isyarat berbalas terakhir antara Boeing 777 dan satelit iaitu transmisi elektronik daripada kapal terbang apabila MH370 hilang pada 8 Mac lalu ketika penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China dengan 239 penumpang dan kru.





Apabila MH370 mencapai arka ketujuh, pesawat berkenaan dianggap sudah kehabisan bahan api dan menurun ke arah laut.

Sebelum ini, ATSB menerusi Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) mengeluarkan kenyataan bahawa kawasan yang dikenal pasti sebagai isyarat ‘ping’ dikeluarkan bukan lokasi terakhir MH370.

Isyarat ‘ping’ itu dikesan di selatan Lautan Hindi pada awal April lalu.


Perhalusi zon pencarian

Selepas petunjuk berkenaan dikesan, kawasan carian sudah diperhalusi sehingga zon tunggal kira-kira 75,423 km persegi, 2,261 km barat laut Perth, barat Australia.

Perdana Menteri Australia, Tony Abbott, yakin mengenai kawasan yang diperhalusi sebagai ‘kunci’ kepada lokasi pesawat berkenaan.

Beliau berkata dalam satu ucapan di Shanghai pada bulan April lalu bahawa kedudukan kotak hitam sudah dikecilkan dalam beberapa km.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.