MH370: Sejarah akan menghakimi kita - DS Hishammuddin Tun Hussein



Ketika China dan Malaysia meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik, Hishammuddin berkata secara peribadi, hubungan itu memberi banyak makna kepadanya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan hubungan itu dibina oleh para pemimpin terdahulu.

KUALA LUMPUR: Kerjasama Malaysia dan China dalam usaha mencari pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 menghasilkan model baharu dalam hubungan global, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Saya tidak boleh lari daripada hakikat bahawa saya bertanggungjawab dalam mencari MH370. Saya benar-benar yakin bahawa ada sebab sesuatu itu berlaku dan ia merupakan satu perjalanan penuh emosi buat saya, ketika menempuh tragedi yang menimpa MH370.



"Perjalanan yang penuh emosi itu juga mempunyai ikatan yang amat kuat dengan China dan rakyatnya. Banyak perkara yang berlaku dalam tempoh 40 tahun. Ia sesuatu yang signifikan bagi saya (kerana) saya sudah berjanji dengan keluarga para penumpang yang hilang itu bahawa saya akan datang ke sini dan berbincang dengan mereka," katanya ketika ditemu bual pengacara CCTV News, James Chau di Beijing, China hari ini.



Ketika China dan Malaysia meraikan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik,  Hishammuddin berkata secara peribadi, hubungan itu memberi banyak makna kepadanya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan hubungan itu dibina oleh para pemimpin terdahulu.

"Apa yang lebih penting, ia amat bermakna kepada hubungan dua hala kedua-dua negara, bagaimana kita membawa diri dengan pemimpin dan rakyat China. Ia penting kerana dunia sedang memerhati dan ini boleh menjadi satu contoh yang baik dalam hubungan dua hala," katanya.



Penerbangan MH370, yang hilang daripada skrin radar ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas, membawa 239 penumpang dan anak kapal dengan dua per tiga daripadanya adalah dari China.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, turut menyatakan komitmen Malaysia untuk meneruskan usaha mengesan pesawat itu.

"Bagi pihak keluarga saya, kerajaan serta rakyat Malaysia, pencarian akan diteruskan. Saya masih berhubung dengan keluarga beberapa penumpang. Saya telah memberi jaminan kepada mereka bahawa saya tidak akan berputus asa," katanya.



Hishammuddin berkata perkara paling sukar dalam pencarian pesawat itu ialah terpaksa berdepan dengan keluarga mangsa, dan beliau masih melakukannya.

"Saya percaya tidak seorangpun daripada anggota pasukan pencarian yang patah semangat meskipun pilu melihat kesengsaraan keluarga akibat kehilangan MH370," katanya.

Ditanya sama ada Malaysia berada dalam kedudukan yang membolehkannya menawarkan inovasi dan pengetahuan baharu, Hishammuddin berkata negara mampu berbuat demikian dan beliau bangga dengan perkara itu.

"Itu adalah sesuatu yang saya banggakan, tidak kiralah apa yang orang kata. Tidak banyak negara yang boleh menyelaras dan mendapatkan kerjasama semua pihak.



"Saya bernasib baik kerana saya perlu berurusan dengan mereka yang berhemah dan hakikatnya, kita kini beralih ke satu fasa baharu menerusi pencarian di lautan dalam," katanya.

Beliau berkata sokongan bagi membantu Malaysia dalam fasa baharu pencarian MH370 amat memberangsangkan.

"Teknologi yang boleh didapati di luar sana amat canggih. Saya juga berpendapat Malaysia, Australia dan China berada dalam kedudukan yang agak unik dalam sejarah manusia," katanya.

Hishammuddin turut ditanya mengapa beliau memilih untuk melawat keluarga penumpang secara bersendirian di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada awal misi pencarian, tanpa kehadiran media.

"Ini kerana ia antara keluarga terbabit dan saya. Ada had dalam mempolitikkan sesuatu isu, had untuk mendapatkan rating dan had untuk menjawab dakwaan meskipun ia bersifat peribadi bagi saya apabila anda menyatakan bahawa saya tidak peduli.

"Saya selalu mengatakan perkara ini, sejarah akan menghakimi kita. Muncul di kaca televisyen, memeluk, mencium dan menangis bersama mereka, semua itu hanya bersifat sementara. Itu bukan saya. Orang ramai kini mula memahami siapa saya. Jika saya menggambarkan Malaysia, saya rasa saya sudah melakukan tugas saya," katanya.

Berdasarkan pengiraan data satelit Inmarsat, MH370 dikatakan terbang di ruang udara selatan Lautan Hindi - bertentangan dengan arah yang sepatutnya ia lalui - dan dipercayai hilang di kawasan itu.

Bagaimanapun, satu laporan Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) hari ini mengetepikan zon itu sebagai tempat bersemadinya pesawat MH370.

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.