UMS : Universiti Malaysia Sabah tukar Istilah Sekolah kepada Fakulti


UMS - Universiti Malaysia Sabah Tukar Istilah Pusat Pengajian (Sekolah) Kepada Fakulti

KOTA KINABALU, 25 April (Bernama) -- Universiti Malaysia Sabah (UMS) kini menukar istilah pusat pengajiannya kepada fakulti, kata Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Mohd Harun Abdullah.

Beliau berkata ia antara lain bertujuan memberi imej lebih kemas kepada UMS.

"Kita melihat fakulti sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan institusi pengajian tinggi. Inilah salah satu sebab kita selaraskannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Saham UMS yang dinamakan Stock Trading and Gallery dengan kerjasama BESSAR, anak syarikat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Turut dirasmikan HoteLab UMS.

Bernama diwakili Pengerusinya Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Mohd Harun berkata selain itu, beberapa sekolah akan digabung menjadi fakulti bagi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan kecekapan para pensyarah.

Beliau berkata dengan penggabungan itu, UMS yang sebelum ini mempunyai 13 sekolah kini mempunyai 10 fakulti.

"Ini amat bersejarah dan amat bermakna memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun ke-20 UMS. Ini merupakan inisiatif baharu dengan mengambil kira beberapa penambahbaikan di UMS," katanya.

Sementara itu beliau berkata kedua-dua makmal yang dirasmikan itu akan membantu pelajar Fakulti Perniagaan Ekonomi dan Perakaunan UMS memahami dengan lebih mendalam urusan saham serta pengurusan perhotelan. - BERNAMA

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.