Header Ads

Up2date Terkini!
recent

Antara Dilema dan Tanggunjawab Hishammuddin Tun Hussein berdepan keluarga penumpang MH370


Hishammuddin Tun Hussein 

KUALA LUMPUR - "Ia adalah suatu perkara yang cukup berat untuk berdepan dengan keluarga penumpang dan anak kapal," kata pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein apabila mengulas dilema yang dihadapi beliau sepanjang tiga minggu cuba merungkai misteri kehilangan pesawat MH370.

Beliau berkata semasa berdepan dengan ketidaktentuan emosi keluarga, pihaknya perlu mengendali perkara itu dengan bijak serta berhemah selain memberi maklumat segera berhubung operasi mencari dan menyelamat (SAR).


Katanya, pada pertemuan hari ini, anggota keluarga meminta pasukan SAR tidak berputus harapan bagi menemui pesawat itu dan meminta penerangan berkaitan kotak hitam, jika tidak ditemui dalam masa 30 hari.

Hishammuddin juga berkata adalah sesuatu yang adil untuk anggota keluarga terus mengharap walaupun sedar kawasan tumpuan mencari merupakan kawasan terpencil.

"Tidak kiralah betapa tipisnya harapan, kita mendoakan keajaiban, dan untukmereka meminta agar dunia terus berdoa serta pasukan SAR mencari mangsa yang mungkin masih hidup merupakan satu permintaan yang adil, oleh itu, komuniti global perlu menghormatinya," katanya ketika ditemu bual media tempatan.

Penantian seorang ibu. Wan Tom Wan Chik, 74 ibu kepada penumpang pesawat #MH370 setia menunggu dan menanti kepulangan anak tersayang.


Selain itu, beliau berkata perpaduan yang dipamerkan rakyat Malaysia serta kerjasama yang diterima dari 26 negara memberi semangat kepada beliau setiap hari untuk meneruskan tanggungjawab dan amanah ini.



"Apa yang kita lakukan di Malaysia ini mendapat sokongan dari banyak negara. Ia mungkin mustahil bagi negara lain boleh bekerjasama dan berkongsi maklumat," katanya.

Hishammuddin bersama keluarga untuk taklimat di The Everly Hotel Putrajaya .Tugas menjadi keutamaan beliau.



Justeru, katanya ia adalah sesuatu yang tidak adil kepada Malaysia sekiranya secara berterusan dikritik dalam mengendalikan operasi SAR.

Mengenai pemberian insurans, beliau berkata walaupun insurans itu sedangdiproses tapi ia sama sekali tidak bermakna Malaysia Airline (MAS) berpatah harapan dalam operasi SAR ini.

Ya Allah, tiada kata yang mampu diucapkan. Biar gambar sahaja yang berbicara perasaan mereka sekarang. Terlalu banyak hati yang merindui dan meratap kesedihan ketika ini.Berat mata kita memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.Ya Allah, tabahkanlah hati mereka demi menghadapi ujian Mu ini.

Ketika ditanya sama ada Malaysia perlu memohon maaf kepada keluarga penumpang MH370, Hishammuddin berkata Kuala Lumpur tidak akan teragak-agak untuk berbuat demikian namun perkara itu hanya akan dilakukan bila semua siasatan  berhubung kehilangan pesawat berkenaan selesai.

Salah seorang Ahli keluarga mangsa ditenangkan oleh hishammuddin dan Isteri.


"Malaysia sentiasa telus dan apabila tiba masanya ...jika kita rasa kita salah... maka Malaysia tidak pernah rasa malu untuk memohon maaf.

"Kalau kita salah, kenapa tak nak minta maaf? Kita tak ada ego tetapi kalau kita nak minta maaf, biarlah berasaskan kepada siasatan dan berasaskan kepada perkara-perkara yang telahpun ditentukan oleh pihak-pihak yang berkecuali,"  katanya.

Penerbangan MH370, yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang pada 8 Mac setelah sejam berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam.

Pesawat itu sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.

Sedih apabila melihat mereka meluahkan perasaan sayu mereka kepada Hishammuddin dan isteri.


Pada Isnin lepas, iaitu hari ke-17 operasi mencari, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan berdasarkan analisis data satelit Inmarsat dan AAIB United Kingdom, penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi". - Bernama

No comments:

Powered by Blogger.