Jurulatih Hoki Kebangsaan Paul Revington sah letak jawatan

DUA minggu sebelum bermula separuh akhir Kejohanan Liga Hoki Dunia di Johor Bahru, skuad kebangsaan menerima tamparan hebat apabila ketua jurulatihnya Paul Revington meletak jawatan.

klik 👉 Follow Telegram BeritaUp2date (large-bt)



Jurulatih antarabangsa kelahiran Afrika Selatan itu mengumumkan peletakan jawatannya menerusi kiriman e-mel kepada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Menerusi e-mail berkenaan, Revington mendakwa wujud campur tangan dalam mengendalikan skuad kebangsaan terutamanya daripada jurulatih skuad remaja kebangsaan, K. Dharmaraj dan Pengarah Pembangunan Hoki 1MAS, Lim Chiow Chuan.
   
Naib Presiden MHC Majid Manjit Abdullah, yang mempengerusikan mesyuarat tergempar di sini, meminta Revington supaya mempertimbangkan semula keputusannya.
   
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat itu, beliau berkata Revington telah banyak membantu meningkatkan prestasi skuad kebangsaan selepas mengambi alih tugas tersebut daripada Tai Beng Hai pada Ogos tahun lepas.

Bekas jurulatih Ireland itu pernah memenangi anugerah 'Jurulatih Terbaik Dunia 2011' oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH).
   
Majid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan MHC, berkata MHC boleh menubuhkan jawatankuasa siasatan untuk menyiasat dakwaan campur tangan daripada dua jurulatih tempatan itu.
   
"Saya tidak boleh membuat keputusan muktamad kerana ia terletak di bawah bidang kuasa pengurusan tertinggi MHC," katanya.
   
"Seandainya beliau (Revington) tetap dengan keputusannya, maka kita mencadangkan kepada pengurusan MHC untuk mengambil jurulatih sementara seperti pembantu jurulatih kebangsaan, Arul Selvaraj atau (bekas jurulatih negara), Sarjit Singh.
   
"Namun kita merayu kepada Revington untuk mempertimbangkan semula peletakkan jawatannya kerana beliau telah melakukan tugasan terbaik sejak membimbing skuad hoki negara," katanya.

MHC telah melantik Revington sebagai ketua jurulatih dan dibantu bekas pemain negara Arul Selvaraj bagi memulihkan imej dan maruah pasukan hoki negara.
   
Kedua-dua mereka mula menjadi gandingan untuk melatih skuad Afrika Selatan pada 2006 sebelum membimbing skuad Ireland dari 2009 hingga pertengahan tahun lepas.
   
Antara kejayaan yang diraih oleh skuad kebangsaan sejak dibimbing Revington ialah menduduki tempat keempat pada Kejohanan Cabaran Juara-Juara 1 di Argentina, November lepas selain meraih pingat gangsa pada Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia kedua di Qatar, sebulan kemudian.
   
Pada Mac lepas, Malaysia muncul naib juara Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2013 di Ipoh, Perak selepas kalah 3-2 kepada Australia pada final.

Kongsikan artikel ini:

Ikuti kami di Facebook, Twitter, dan Telegram untuk berita terkini setiap hari.
klik 👉 https://t.me/BeritaUp2Date



Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.